Memulakan langkah awal dalam industri hiburan sebagai pelakon, Zul Huzaimy Marzuki kini selesa berada di belakang tabir sebagai pengarah.
Berbekalkan pengalaman yang diraih dalam lakonan, Zul yang pernah membintangi filem Langgar kini sibuk mengarahkan drama bersiri berjudul Lelaki Itu Pemilik Hatiku yang diadaptasi daripada novel Mr Hot Guy.
Zul, 39, berkata, drama untuk slot Akasia TV3 terbitan A Aida Production itu membariskan nama popular iaitu Raja Afiq, Puteri Aishah, Liza Abdullah dan ramai lagi.
“Drama ini membabitkan sebanyak 32 episod dan penggambaran dibuat di sekitar Kuala Lumpur dan Terengganu. Setakat ini proses penggambaran sudah berjalan 70 peratus.
“Selepas habis penggambaran, saya akan sibuk dengan proses suntingan kerana drama ini akan disiarkan pada Oktober nanti,” katanya.
Walaupun seronok mengarah, Zul masih mencintai bidang lakonan yang sebati dengan jiwanya sejak dulu. Namun dia terpaksa membahagikan masa sebaiknya untuk melakukan dua pekerjaan serentak.
“Kalau ikutkan ini drama untuk slot Akasia keempat arahan saya. Untuk berlakon sekali, ia juga bergantung kepada skrip.
“Selalunya kalau saya sendiri buat skrip, saya pasti akan berlakon. Kalau ada tawaran daripada pengarah lain pun, saya akan ambil sekiranya watak sesuai,” katanya.
Menurut Zul, melihatkan kepada jadual pengarahannya yang panjang, sukar baginya memberikan komitmen terutamanya projek drama bersiri.
“Untuk pengarahan, saya sebenarnya bersikap terbuka dan terima apa saja tema yang diberikan. Bukanlah saya hanya suka mengarahkan drama yang diadaptasi daripada novel semata-mata.
“Tapi kita kenalah ikut konsep slot seperti Akasia yang memang menghasilkan drama daripada novel popular. Sebelum ini, saya pernah mengarahkan drama berkaitan penyakit kanser lakonan Nad Zainal, Ryzal Jaafar, Johan As’ari dan ramai lagi untuk slot Dahlia.
“Apapun, saya bekerja mengikut konsep yang ditetapkan penerbit. Alhamdulillah, setakat ini tawaran yang datang tidak pernah berhenti,” katanya.
Cungkil bakat anak
Bercerita mengenai keluarga, Zul kini bahagia melayari rumah tangga bersama Nur Ernawati Mohd Nor, 29, yang dikahwini pada 20 Februari 2015.
Kehidupan mereka kini diserikan dengan kehadiran anak perempuan bernama Indah Armani yang kini berusia setahun tujuh bulan.
“Alhamdulillah, saya kini mempunyai sepasang anak termasuk anak lelaki, Awal Haziq, 11, daripada perkahwinan terdahulu bersama Nor Dalilah Muhammad.
“Bagaimanapun, saya rasa ini belum mencukupi dan berhasrat menambah anak lagi jika ada rezeki. Lagipun Indah Armani perlu ada kawan supaya dia dapat jadi ketua,” katanya.
Awal Haziq pula tinggal bersama ibunya tetapi hubungan dengan Zul tetap baik seperti biasa.
“Saya nampak kecenderungan dia dalam bidang muzik tapi biarlah dia buat pilihan sendiri apa yang disukainya.
“Saya turut bercadang mencungkil bakatnya dalam lakonan dan akan memberikan peluang dia berlakon telefilem berjudul Siapa Curi Pisau Tok Mudim? yang akan menjalani penggambaran pada Oktober ini,” katanya.
Menurutnya, dia mencadangkan nama Awal Haziq untuk drama yang turut menampilkan Eman Manan kepada RTM dan mereka bersetuju memandangkan watak diperlukan adalah watak kanak-kanak.