Persembahan oleh Zizan Razak (tengah) pada Anugerah Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)
Zizan Razak tidak kisah dengan kecaman dan komen negatif netizen terhadap caranya mengendalikan Festival Filem Malaysia (FFM) ke-29.
Ditemui selepas berakhirnya FFM29 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, sebentar tadi, Zizan mengaku tidak terganggu dengan reaksi netizen itu.
"Setakat ini, saya tidak dapat atau membaca apa-apa komen negatif. Saya tengok orang ramai gembira dan berseronok... Itu sudah memadai. Malah, pihak produksi juga berpuas hati. Bila saya tengok mereka gembira, saya pun gembira.
"Saya tak rasa gurauan saya kasar malam ini. Ini kerana saya tahu masyarakat sekarang makin bijak menilai. Saya tidak bergurau melebihi had kerana semuanya yang saya cakap akan ditapis pihak produksi dan mereka tidak bercakap apa-apa mengenai soal itu.
"Tapi jujurnya, setakat ini saya tidak menerima sebarang komen negatif daripada orang sekeliling saya. Ustaz yang memberikan ceramah pun dikatakan menunjuk-nunjuk, apatah lagi artis seperti saya," katanya.
Zizan enggan memperbesarkan isu itu sebaliknya menganggap apa yang berlaku sebagai pengajaran. Menurutnya, setiap komen yang dilayangkan, diterima secara positif.
Malah, Zizan juga tidak berkecil hati dengan status yang dimuat naik Afdlin Shauki mengenai penampilannya berkaca mata hitam pada permulaan acara.
Selain Zizan, pelakon dan pelawak itu turut ditemani oleh Thanuja, Siti Elizad dan Elizabeth Tan sebagai pengacara bersama.
Sementara itu, mengulas mengenai filem lakonannya, Abang Long Fadil 2 yang diumumkan sebagai Filem Box Office FFM29, Zizan berkata sambutan yang sangat memberangsangkan itu adalah di luar sangkaannya.
"Ia boleh dikatakan satu kejayaan yang luar biasa kerana kutipan sebanyak RM17.3 juta dicapai dalam masa yang singkat. Terima kasih pada penonton yang menyokong filem ini.
"Pada saya kejayaan ini bukan terletak pada seorang saja, tapi pada semua dari penulis skrip, kru, penerbit dan semua pelakon yang menjayakan filem ini," katanya.
Berkongsi mengenai perkembangan karier lakonannya, Zizan akan terbabit dengan penggambaran filem Polis Evo 2 bulan depan.