Wajah terkini Zara Zya. Zara dituduh sebagai perempuan jahat selepas bertindak mewarnakan rambutnya.
Menyakiti hati orang ibarat mencarik sehelai kertas, ironinya diri sendiri tidak mampu menampung waima sebesar hama kata cacian.
Itu yang berlaku kepada dramatis hebat, Zara Zya apabila ada individu yang berperilaku tidak wajar dengan mencipta akaun palsu dengan nama zarazya_gile_pengkid, semata-mata untuk mengaibkan pelakon berusia 32 tahun itu.
Zara dituduh membuat pembedahan pada wajahnya kerana individu itu menyifatkan pelakon drama Tuan Anas Mikael itu kini semakin jelita.
Tidak mudah melatah, Zara bertindak memuat naik akaun palsu itu di dalam akaun Instagramnya
@zarazya bagi menjernihkan keributan yang dibina individu tersebut.
“Saya dapat tahu mengenai kewujudan akaun berkenaan selepas peminat menghantar mesej melalui Instagram. Saya terus melihat akaun palsu tersebut dan terkejut dengan apa yang ditulis individu itu mengenai diri saya.
“Jadi, saya berasakan ia patut diuar-uarkan kepada peminat dan netizen kerana apa yang ditulis semuanya tidak benar dan ia sangat teruk. Saya tidak mahu orang percaya dengan apa yang ditulisnya,” luah Zara ketika dihubungi Sensasi Bintang.
Tiada sasaran individu mana yang melakukan perbuatan itu kerana tidak bermusuhan dengan sesiapa, Zara bagaimanapun mencabar individu itu untuk berjumpa dan membelek sendiri wajahnya.
“Saya mahu orang yang buat akaun palsu itu datang berjumpa dan tengok sendiri wajah saya sama ada terdapat perubahan atau tidak. Bagaimanapun saya percaya orang macam itu tidak akan berani untuk berjumpa sebab dia memang ada masalah hati,” ujarnya yang tidak berdendam dengan individu berkenaan dan terima perkara itu dengan hati terbuka sementelahan ia asam garam yang perlu dilalui golongan selebriti sepertinya.
Pada masa sama, Zara juga berdepan dengan netizen yang menuduhnya wanita jahat hanya kerana dia mewarnakan rambutnya.
“Macam-macam benda pula yang berlaku. Ada pula yang tuduh saya perempuan jahat selepas bertindak mewarnakan rambut. Saya kecewa dengan individu-individu seperti ini kerana mereka sesuka hati bercakap tanpa berlapik. Jagalah sikit hati orang. Cuba bayangkan kalau diri sendiri yang dituduh sedemikian rupa,” luahnya sayu.
Tidak berniat untuk membawa kes tersebut ke balai polis, Zara bagaimanapun menyifatkan ia sekadar perkara remeh dan kecil, namun perlu disuarakannya supaya ia tidak berterusan.
Dalam perkembangan lain, selepas berehat selama tiga bulan akibat menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan yang terdapat pada bahagian kelenjar pipinya pada 4 Julai lalu, Zara kini kembali ke gelanggang lakonan.
“Alhamdulillah, selepas berehat panjang, saya kembali ke set penggambaran minggu lalu untuk drama 80 episod berjudul Monalisa. Walaupun episodnya panjang, tetapi saya ambil demi peminat. Ramai peminat yang beritahu tidak puas menonton lakonan saya sebelum ini kerana ia cuma melibatkan beberapa belas episod,” jelasnya mengenai drama terbitan Radius One Production untuk siaran Astro Prima itu.