Raf Yaakob & Mawar Rashid Bernikah tahun ini juga


Dalam satu ikatan yang dipanggil perkahwinan, tidak timbul soal siapa yang terlebih dulu tiba di garisan penamat. Sebaliknya, setiap kata putus dijayakan dalam satu unit yang bernama pasukan, nescaya molekul-molekul bahagia itu sentiasa menggebu sampai bila-bila.

Menghitung hari untuk disatukan sebagai pasangan yang sah, pasangan selebriti, Raf Yaakob dan Mawar Rashid yang sinonim dengan #MawaRaf kini bukan lagi sekadar hashtag di media sosial. Baik Raf waima Mawar, kedua-duanya seumpama berada di garisan mula untuk menghayun langkah bahagia bersama-sama menempuh gelora dan samudera dunia rumah tangga.

Kendatipun kekal berahsia mengenai tarikh sebenar menyusun ijab dan kabul sebelum ini, pemilik nama sebenar Raden Ahmad Faizal Yaakob, 32, dan Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 22, mengesahkan bahawa mereka bakal bernikah pada tahun ini juga.

Usai menyulam tali pertunangan pada 7 Julai lepas yang juga merupakan tarikh ulang tahun kelahiran arwah bapa Raf iaitu Datuk Yaakob Mohammad, mereka memiliki alasan tersendiri mengapa lebih selesa bungkam daripada membicarakan tarikh sebenar bersanding di pelamin bahagia.

“Ya, kami akan bernikah sebelum penghujung tahun ini. Cuma, kami tidak mahu heboh-heboh dan menghormati keluarga, tambahan pula ini perkahwinan saya yang kedua.

“Usah khuatir, kami tetap akan berkongsi tarikh itu tidak lama lagi kerana merancang untuk mengadakan sidang akhbar khas selewat-lewatnya seminggu sebelum majlis nanti,” ungkap Raf kepada Sensasi Bintang.

Mawar pula memberitahu, mengikut perancangan awal mereka sepatutnya bernikah pada tahun depan, cuma segala-galanya disegerakan kerana bakal menerajui sebuah program travelog bola sepak bersama sebuah stesen televisyen berjudul Road To Russia sempena Piala Dunia 2018.

“Kami bertindak sebagai hos bersama dan akan mengembara ke Rusia menggunakan jalan darat seperti kereta api menuju ke sana, selain dijadualkan menjalani penggambaran selama dua bulan kira-kira seminggu selepas majlis pernikahan selesai. Pendek kata, kami akan bekerja sambil berbulan madu,” sampuk Raf sehingga mengundang tawa di bibir Mawar.

Getus Mawar, dia juga memasang impian semoga segala-galanya berjalan lancar dan dipermudahkan, selain berkekalan hingga ke akhir hayat.


Majlis bersejarah pasangan ini bertemakan Siam dan Jawa.

Wedding Of The Year

“Persiapan juga baru siap lebih kurang 70 peratus dan semuanya berjalan dengan baik. Ketika ini, kami tengah menunggu sampel kad kahwin selain belum menetapkan jumlah mas kahwin.

“Kami juga baru melihat-lihat untuk membeli-belah barangan hantaran termasuk cincin perkahwinan bersama-sama, sekali gus dapat mengetahui cita rasa masing-masing,” ujarnya yang bakal menerima sembilan dulang hantaran berbalas tujuh pada majlis bersejarah itu nanti.

Raf pula memberitahu, sejujurnya ia bukan satu kepentingan sama ada perkahwinannya bakal menjadi Wedding Of The Year ataupun tidak kerana yang paling penting majlis ijab dan kabul berjalan dengan lancar.

“Majlis itu sekadar mahu menguar-uarkan kepada masyarakat bahawa kami telah berkahwin serta meraikannya dengan keluarga dan sahabat handai.

“Kami akan bernikah di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur sebelum mengadakan majlis resepsi di Hotel Royale Chulan Damansara sementara busana perkahwinan pula ditaja oleh Cosry.

“Selain itu, akan ada malam berinai sebelum majlis nikah bertemakan Siam, manakala majlis keesokannya pula bertemakan Jawa sementara majlis resepsi bertemakan moden,” ceritanya lagi.

Apa yang penting, jelas Raf, dia sudah mendapat restu daripada keluarga dan anak-anak sebelum membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga bersama Mawar.

“Kedua-dua anak iaitu Raden Ahmad Rayyan, 6, Raden Seri Raysaa Chanela, 2, cukup sayangkan serta mesra bersama Mawar, itu yang paling utama,” tuturnya tenang menyusun bicara.


Raf memanggil Mawar dengan nama panggilan Manja, sementara Mawar memanggilnya Raden.

Eksklusif buat Mawar

Pada masa sama, Raf juga berkongsi rahsia bahawa Mawar saja satu-satunya wanita yang memanggilnya Raden.

“Tidak pernah insan bernama wanita yang memanggil nama sebegitu, Raden cuma nama panggilan manja dalam kalangan keluarga.

“Saya tidak suka dipanggil Raden sebenarnya, mungkin Mawar memang ditakdirkan tulang rusuk saya. Baik Mawar mahupun saya, keluarga kami cukup mewah dengan kasih sayang, jadi sudah tentu kami mahu hubungan ini kekal hingga ke jannah,” ujarnya yang memanggil Mawar dengan nama panggilan Manja.

Sesekali menyambung perbualan, bohong Mawar katakan sekiranya mereka tidak pernah bergaduh sepanjang lapan bulan perkenalan.

“Raf selalu berpesan dan saya gembira kerana dia cukup matang dan banyak pengalaman dalam hidup. Dia sentiasa memainkan peranan dan menjadi contoh terbaik buat saya kerana sedar usia masih muda dan banyak yang perlu belajar,” getusnya menguntum senyum.

Raf pula memberitahu, setiap kali bergaduh bukan bermakna untuk membenci ataupun menyimpan dendam, sebaliknya ia disifatkan sebagai sesi perkenalan supaya lebih mengetahui baik buruk masing-masing dan cuba menyesuaikan diri dengan keadaan.

“Saya memang seorang yang serius, pendiam dan sukar untuk rapat dengan orang, tapi bukan bermakna sombong. Jadi, kehadiran Mawar mengimbangi dan membahagiakan saya kerana sentiasa menghiburkan ketika sedang berduka lara,” ujar Raf.

Ditebak soalan klise sama ada kekal memberikan ‘lampu hijau’ kepada Mawar untuk bergiat aktif dalam bidang seni selepas berumah tangga, Raf ada jawapan konkrit berhubung perkara itu.

“Saya tidak mahu dia berhenti berlakon dan tidak gusar kerana Mawar sudah menjaga batas sebagai pelakon sejak awal lagi, jadi tidak timbul soal itu.

“Apa yang penting, kami saling melengkapi dan menyokong penuh minat masing-masing dalam bidang lakonan,” ujarnya seraya menoktah bicara.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post