Percaturan seni Ernie Zakri dan Haqiem Rusli


Haqiem bakal keluar dengan single baharu berjudul Jatuh Bangun yang menceritakan kisah hidupnya, manakala Ernie pula muncul dengan single yang mempertaruhkan vokalnya seperti lagu Aku Cinta.

Seorang penyanyi, hebat melontarkan suara tidak kira apa jua genre yang diberikan. Sementara, seorang lagi pengalun vokal miliki kreativiti mencipta lagu. Ernie Zakri dan Haqiem Rusli, biar tidak sama fasa dan rentak, namun berjuang atas gelanggang yang sama iaitu muzik.

Karier nyanyian yang dibina mereka bukan seperti angin lalu, sebaliknya permata yang tidak luntur warnanya. Sensasi Bintang mendapatkan buah fikiran Ernie dan Haqiem untuk memperkatakan tentang single terbaharu mereka. Sama ada ia mampu menyaingi single-single terdahulu, baik Ernie dan Haqeim mereka optimis.

Pada masa sama, Ernie berkongsi keterujaannya mengajar vokal Syamel, Nubhan dan Indah untuk konsert AF Megastar 2017 manakala Haqiem pula berhasrat untuk memberikan lagu ciptaannya untuk didendangkan penyanyi Datuk Jamal Abdillah, Zamani Slam dan Judika.

Sensasi Bintang: Boleh kongsikan mengenai single terbaharu kalian?

HAQIEM RUSLI: Single ketiga saya akan dimuatkan dalam album baharu yang mempunyai enam buah lagu. Insya-Allah, album tersebut akan diterbitkan pada tahun ini. Tiga lagu daripadanya adalah hasil ciptaan saya manakala tiga lagi lagu daripada komposer lain. Saya sasarkan single ketiga saya yang berjudul Jatuh Bangun akan hit. Ini kerana, lagu ciptaan saya dan Omar K itu sangat berbeza dengan single-single sebelum ini kerana ia berentak rancak.

ERNIE ZAKRI: Single terbaharu saya lebih serius sedikit. Ia kesinambungan daripada lagu Aku Cinta nyanyian saya bersama Syamel. Lagu bergenre balada, ciptaan Gouffran dan Sang Hitam itu bagaimanapun masih belum mempunyai judul sebab ada sedikit pertukaran dari segi susunan muzik.

Single terbaharu kalian itu menceritakan tentang apa dan kelainan single tersebut berbanding single terdahulu?

HAQIEM: Jatuh Bangun menceritakan tentang kisah hidup saya ketika di bangku sekolah yang mana saya pernah kehilangan kawan. Ia sebuah lagu nasihat tentang janganlah kita menjadi seorang kawan yang ada di kala senang tetapi tidak ketika susah.

ERNIE: Lagu baharu saya tidak berkisarkan tentang cinta. Ia mengisahkan tentang kehidupan yang dilalui setiap manusia yang mana kita semua tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Walaupun kita cuba bersikap positif, tetapi ada masanya kita akan tersasar. Lagu itu meminta supaya kita buang sikap negatif yang ada dalam diri.

Apakah harapan kalian terhadap single itu? Adakah ia mampu mengatasi kejayaan single-single terdahulu?

HAQIEM: Harapan saya untuk single ketiga ini agar ia boleh mengatasi lagu Segalanya dan Tergantung Sepi. Saya harap peminat dapat berikan sokongan.

ERNIE: Saya berharap yang terbaik sementelahan ini single solo saya selepas keluar daripada program Duo Star. Ramai yang bertanya bila saya nak keluarkan single solo. Jadi, saya rasa apa yang paling utama saya perlu mencari lagu yang terbaik dahulu untuk pendengar. Alhamdulillah, saya berjaya memperoleh lagu terbaik.


Dua anak muda ini mula melonjak nama selepas single masing-masing mendapat jumlah tontonan yang tinggi di YouTube.

Selain menyanyi, khabarnya Ernie turut mengajar vokal untuk penyanyi lain manakala Haqiem pula turut berbakat dalam penghasilan lagu. Boleh kongsikan mengenai perkara tersebut?

HAQIEM: Ya, saya juga sekarang berjinak-jinak dalam bidang penghasilan lagu dan sudah menghasilkan dua buah lagu. Ia merupakan single kedua penyanyi Irfan Haris dan juga single kedua Putra Band. Insya-Allah, akan datang saya akan buat lagu untuk Sufi Rashid, kumpulan Klangit dan Tajul. Selepas itu, akan ada banyak lagi lagu yang saya akan berikan kepada penyanyi lain. Saya teringin berikan lagu pada Judika, Datuk Jamal Abdillah dan Zamani Slam.

ERNIE: Sudah tiga tahun saya buat kelas vokal. Bagaimanapun, selepas saya mula mengajar vokal Siti Nordiana, alhamdulillah ramai lagi artis yang ingin belajar vokal. Buat masa ini, saya mengajar vokal untuk Syamel, Nubhan dan Indah. Saya lega kerana ramai artis yang terbuka minda untuk lebih tahu apa yang mereka mahukan dalam industri muzik. Sebab pada saya apabila kita buat sesuatu kita kena faham bukannya sekadar membuta-tuli.

Selain bidang muzik, tidak teringinkah kalian untuk berlakon atau mengacara?

HAQIEM: Mengacara saya memang tidak pandai, tetapi kalau berlakon saya okey. Cumanya, saya tidak mampu bawa watak ceria. Kalau watak cool, sedih dan remaja kampung mungkin saya mampu lakonkan.

ERNIE: Saya pernah berlakon satu telefilem istimewa sempena Aidilfitri beberapa tahun lalu bersama Tomok untuk RTM. Itu sahaja. Buat masa ini, saya tidak terfikir langsung untuk kembali berlakon walaupun ada beberapa tawaran yang datang. Saya rasa, saya perlu kukuhkan nama sebagai penyanyi dahulu, selepas itu saya akan cuba pula bidang lakonan.

Kongsikan projek seni kalian selepas ini?

HAQIEM: Insya-Allah, pada bulan Disember nanti, saya akan buat konsert solo di Kuching, Sarawak. Apa-apa saya akan uar-uarkannya di laman Instagram saya.

ERNIE: Selain keluar single baharu, saya mengajar vokal dan membuat persembahan. Itu sahaja.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post