Zahid Baharuddin tetap bebas


Terus aktif mempelbagaikan muzik yang dibawanya, penyanyi Zahid Baharuddin mengakui pembabitannya bersama Erwan dalam The Muhibbain (TM) untuk lebih mendalami muzik lain yang sedia ada.

Jika sebelum ini Zahid sinonim dengan muzik pop, bersama TM diharap dia juga berpeluang menyanyikan lagu bercorak kerohanian dan ketuhanan.

Zahid yang sebelum ini lebih sinonim dengan gelaran Zahid AF mula bersama TM sejak lima bulan lalu dan single duet pertama mereka berjudul Sebarkan Cinta sudahpun dilancarkan.

Menariknya, ia turut dilancarkan serentak dengan program Izinkan Kami Sebarkan Cinta (IKSC) yang diadakan, baru-baru ini.

“Saya menyertai TM kerana mahu mempelbagaikan muzik yang dibawa. Sebelum ini saya ada juga mencuba membawakan lagu bercorak begini tetapi tidak tetap.

“Diharap pembabitan bersama TM dapat memberi lebih lagi fokus membabitkan konsep lagu yang dibawa.

“Saya juga gembira pelancaran single pertama TM seiring pelancaran IKSC dan ini secara tidak langsung memberi lebih pendedahan buat saya dan tidak hanya menyanyi. Malah, turut sama melakukan kerja amal,” katanya.

Meskipun sudah menyertai TM, namun, Zahid masih bebas untuk bergerak solo. Pembabitannya bersama TM juga untuk beberapa projek istimewa yang tidak mengganggu perjalanan solo karier seninya.

“Saya bersama TM namun masih diberi kebebasan untuk bergerak solo. Ini bermakna saya dapat menyanyi dalam pelbagai genre pop dan kerohanian.

“Erwan juga ada persembahan solonya sendiri. Jadi tidak ada masalah dan saya tidak terikat untuk fokus dengan TM saja,” katanya.

Dalam pada itu, Zahid turut terbabit dalam program AF Megastar yang mula bersiaran sejak 3 September lalu.

“Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi dan terbabit dalam program itu kerana diberi tawaran. Saya juga bersyukur andai berjaya tersenarai dalam 12 peserta yang bertanding,” katanya.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post