Mawar Rashid Menanti saat diijabkabulkan


Perbezaan usia 11 tahun antara Mawar Rashid dan Raden Ahmad Faizal Yaakob atau Raf Yaakob menjadi kekuatan utama ikatan cinta antara dua selebriti ini. Jurang umur itu juga yang memikat hati pelakon drama Suamiku Paling Sweet ini sejak kali pertama mengenali hati budinya, 9 bulan lalu.

Mawar percaya, lelaki yang lebih berusia mampu membimbing dirinya dalam sebuah bahtera perkahwinan. Dengan pengalaman hidup dan sikap penyayangnya, kelebihan tersebut sudah cukup meyakinkan Mawar untuk terus mendampingi lelaki tersebut hingga ke hujung nyawa.

“Soal jodoh ini pelik. Tak boleh disangka langsung. Tiba-tiba boleh datang sekelip mata. Dalam perkenalan singkat, saya dan abang (panggilan buat Raf) boleh serius sampai ke hari ini,” kata gadis berusia 22 tahun ini membuka bicara tentang soal hati.

Mawar berkenalan dengan Raf menerusi satu pertemuan bersama rakan baiknya, Emma Maembang awal tahun lalu. Raf juga seorang pelakon dan pengacara televisyen itu merupakan adik kepada penyanyi Datuk Fazley Yaacob yang popular dengan lagu Asmara Ini.

Pertemuan singkat itu tidak semena-mena menyebabkan mereka boleh serasi bersama. Bahkan keserasian antara pasangan ini menjadikan mereka seperti pasangan belangkas, langsung tidak boleh berpisah walau satu saat sekalipun.

Sifat kebapaan Raf yang berstatus bapa tunggal dan mempunyai dua orang anak hasil perkahwinan terdahulu mengikat kasih Mawar terhadap lelaki itu. Cara Raf melayan Raden Ahmad Rayyan, 6, dan Raden Seri Raysaa Chanela, 2, itu yang membuka mata Mawar bahawa pilihannya itu paling tepat!

Ini kerana sepanjang tempoh perkenalan, tidak pernah sekalipun Raf meninggikan suara kepada dua cahaya matanya itu. Jauh sekali mengeluh sepanjang proses mendidik mereka berdua.

“Saya langsung tidak kisah dengan status dia. Dia dah perkahwinannya yang lampau itu sudah menjadi sejarah. Masing-masing sudah pun membawa haluan hidup sendiri.

“Lagipun, setiap antara kita ini pun ada masa silam masing-masing bukan? Kalau sekalipun abang itu duda anak dua, apa masalahnya . Tak ada apa-apa pun yang perlu diperbesar-besarkan. Buat rileks saja.

“Kalau ada orang yang menilai keputusan saya kerana memilih cinta seorang duda sekalipun, saya tidak akan ambil peduli. Biarlah mereka nak berkata apapun. Saya sudah pun membuat pilihan saya sendiri.

“Yang penting, saya percaya kepada kebahagiaan yang dijanjikan. Abang sudah pun membuktikan yang dia benar-benar serius mahu menjaga hubungan cinta kami sampai bila-bila,” ujar Mawar yang tidak berminat untuk mencampuri urusan rumah tangga antara Raf dan bekas isterinya itu.

Aku bagaikan puteri

Seperkara lain yang membikin jiwa Mawar bergelora tatkala bersama abang apabila dirinya dilayan bagaikan seorang puteri oleh sang kekasih. Itu belum masuk bab dimanja dan sikap prihatinnya, semua tip top!

Bertuah Mawar berjodoh dengan Raf. Enggan menangguhkan cinta sedia ada, kedua-duanya bersepakat untuk mempercepatkan penyatuan cinta mereka. Tak mahu berlengah-lengah lagi untuk melangsungkan hari penuh bahagia mereka.

“Daripada saat awal berkenalan hingga memasuki bulan kesembilan tempoh mengenali hati budi pada hari ini, abang tidak pernah menyakitkan hati saya. Dia sangat toleransi, bertimbang rasa dan melayan saya bagaikan puteri.

“Abang juga sangat romantik dan sentiasa mencipta kejutan untuk menyemarakkan perjalanan cinta kami. Ada saja yang dibuat sampai saya boleh tersenyum sendirian,” kata Mawar yang masih teringat cara kekasihnya itu melamarnya sebelum ini.

Raf membuat kejutan paling romantis apabila menyusun kuntuman bunga mawar dengan tulisan “sudikah awak menerima lamaran saya” ketika melamar kekasihnya itu pada 7 Jun lepas sebelum mengikat tali pertunangan di sebuah pusat konvensyen di Bukit Kiara Kuala Lumpur sebulan selepas itu.

Pasangan ini juga mengumumkan bakal berkahwin pada satu tarikh yang belum ditetapkan pada November depan selepas segala urusan kerja masing-masing selesai tidak lama lagi.

Mengikut perancangan, majlis pernikahan pasangan ini akan diadakan di sebuah masjid yang dihadiri keluarga dan rakan terdekat sebelum mengadakan majlis resepsi untuk meraikan hari bersejarah mereka.

Dikecam bertubi-tubi

Sebenarnya sebelum dilamar secara rasmi Raf, Mawar sudah pun dirisik oleh keluarga kekasihnya itu pada 7 Mei sebelum mereka berangkat ke London atas urusan kerja.

Fakta itu yang tidak diketahui umum hingga menyebabkan pasangan ini pernah menjadi heboh dalam kalangan netizen apabila berkongsi gambar percutian bersama di London beberapa hari sebelum umat Islam menyambut Ramadan.

Bahkan keberangkatan pasangan itu ke Kota London itu diiringi abang Mawar, Arfan Rusyaidi. Dek kerap bergambar berduaan itu juga yang mendorong netizen mengecam tindakan Mawar bercuti bersama kekasihnya itu.

Hinggakan ada yang mendakwa mereka sudah pun berbulan madu bersama di situ lebih-lebih pada bulan yang mulia tersebut. Segala kata-kata tidak berasas itu langsung tidak berkudis di hati Mawar.

“Dalam bab mengecam ini, saya dah lali. Biarkan sajalah netizen nak cakap apapun. Dah tak larat pun nak menyenangi hati mereka setiap kali saya berkongsi gambar dan cerita terbaru di laman sosial.

“Ada orang kata saya ni sudah 'gatal' sangat sebab itu nak kahwin muda, biarlah. Begitu juga yang dakwa saya berkahwin cepat ini kerana desakan pihak-pihak tertentu. Dalam hal ini, mereka nak cakap apa sekali pun, saya tak nak komen lebih-lebih.

“Yang penting, kita menjaga niat murni itu. Perkara yang baik ini pasti ada dugaan tersendiri. Jadi bersabarlah dan saya percaya pasti akan ada ganjaran yang hebat sedia menanti selepas itu,” kata Mawar penuh optimis.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post