Pelakon Ashraf Muslim terpaksa menjalani pembedahan kecil pada bahagian telinga kirinya bagi membuang lebihan cecair, kelmarin.
Ashraf berkata, dia mengalami masalah itu sejak sebulan lalu tetapi keadaannya tidaklah terlalu serius.
"Ia tidak boleh dibiarkan lebih lama kerana bimbang ia memberi kesan kepada bahagian lain dalam telinga. Jadi saya perlu menjalani pembedahan kecil bagi mengeluarkan lebihan cecair itu," katanya.
Menurut Ashraf, dia tidak mengetahui punca sebenar dia mengalami penyakit itu tetapi ia berkemungkinan disebabkan jangkitan kuman.
"Doktor memaklumkan telinga saya mengalami jangkitan kuman. Ia juga mungkin kerana tekanan atau pun posisi tidur yang menutup telinga terlalu lama," katanya.
Ashraf ditemui pada sidang media teater Tun Fatimah Serikandi Empayar Melaka di Istana Budaya, Kuala Lumpur, hari ini hadir ke majlis itu dengan memakai penutup kepala sekali gus menimbulkan tanda tanya kepada tetamu.