One Forteen wakil Malaysia


Anggota kumpulan Forteen, One atau nama sebenarnya Muhammad Ridzuan Sharifuddin, 28, terpilih mewakili Malaysia sebagai peserta program realiti D’Academy Asia musim ketiga (DAA3) yang akan berlangsung di Jakarta, Indonesia, bulan depan.

One berkata, pemilihan itu adalah rezeki buatnya dan dia sangat bersyukur serta bersemangat untuk menyertai program berkenaan.

“Ia adalah satu peluang yang saya tak pernah jangkakan. Sebelum ini saya pernah mewakili Malaysia untuk ke WCOPA (World Championship of Performing Arts) dan kali ini DAA3 pula,” katanya.

One berkata, ini adalah cubaan keduanya untuk menyertai program realiti itu selepas kecundang di sesi uji bakat musim lalu.

“Tahun lalu, saya pernah mencuba nasib untuk DAA2, namun hanya mampu sehingga ke uji bakat. Tahun ini, saya cuba sekali lagi dan alhamdulillah, ada rezeki untuk saya,” katanya.

Bagi menjayakan program itu, One terpaksa menarik diri daripada menyertai pementasan teater Bahara Emas.

“Sepatutnya, saya dan anggota Forteen akan terbabit dalam pementasan teater itu. Namun, kerana saya akan ke Jakarta pada 13 Oktober ini, saya terpaksa menarik diri.

“Agak terkilanlah juga sesi bacaan skrip sudah dijalankan dan latihan juga sudah berlangsung. Bagaimanapun, saya memilih komitmen mana yang perlu diutamakan,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post