Taron Egerton ikut kata hati


Bagi peminat filem aksi Kingsman: The Secret Service yang ditayangkan hampir tiga tahun lalu, pasti ramai yang mula membuka mata terhadap anak muda bernama Taron Egerton ini.

Tahun 2017 menyaksikan pemain watak Eggsy dalam sekuel naskhah itu kekal, Kingsman: The Golden Circle menemui penonton dan ternyata bakat lakonan Egerton membuktikan pilihan pengarah, Matthew Vaughn dahulu adalah tepat.

Menerusi karakter Eggsy, dia sebenarnya tidak lari jauh dari watak sebenar di luar filem yang merupakan seorang yang gila-gila dan tidak serius.

Meskipun mengakui mempunyai minat mendalam terhadap dunia lakonan, lelaki berusia 28 tahun itu berkata dia enggan terlalu taksub dengan gelaran selebriti sehingga hilang identiti sendiri.

“Saya cuma mahu berseronok dengan apa yang sedang berlaku dalam hidup saya. Saya tidak berminat untuk menjadi aktor yang terlalu serius kerana pada saya, itu satu pekerjaan yang membosankan.

“Lagipun industri sudah memiliki ramai pelakon sebegitu, jadi saya lebih suka memilih karya-karya yang mempunyai nilai humor dan tidak terlalu tegang jalan ceritanya,” katanya dalam satu temubual bersama portal independent.uk tahun lalu.

Namun begitu, itu tidak bermakna Egerton mengambil ringan tanggungjawab dalam kerjayanya. Perlahan-lahan, katanya, dia juga sedang belajar tentang selok belok dunia hiburan tetapi dengan caranya sendiri.

Kata Egerton, dia tidak suka mengikut peraturan dan berfikir hanya berpandukan sesuatu yang di dalam kotak kerana bekerja sebagai pelakon sepatutnya menjadi peluang untuk seseorang meneroka latar belakang berbeza dalam hidup.

“Saya terima setiap watak yang ditawarkan mengikut kata hati. Jika ia berjaya, berjayalah. Jika tidak, saya boleh mencuba lagi.

“Menjadi seorang aktor bukan sekadar berlakon demi duit semata-mata, tetapi untuk kepuasan diri sendiri. Saya tidak pernah merancang untuk menjadi popular, cukup setakat saya puas hati dengan watak-watak yang pernah dibawa,” tegasnya lagi.


Menjadi seorang selebriti, Egerton mengakui ada kalanya dia berasa sunyi dalam populariti terutama sejak empat tahun lalu, dia tidak mempunyai teman wanita untuk berkongsi rasa.



Kingsman

Dilahirkan dalam sebuah keluarga kecil di Birkenhead, England, Eegerton mempunyai ibu bapa yang memiliki darah seni dengan kebolehan bermain alat muzik, meskipun ia hanya sekadar hobi.

Mula jatuh cinta dengan dunia lakonan apabila menyertai pementasan teater di sekolah, Egerton berkata menjadi selebriti dunia bukanlah perkara yang pernah terlintas dalam fikirannya.

Malah, cita-cita asalnya adalah untuk berlakon teater kerana dia jatuh cinta dengan dunia yang disifatkannya sebagai mempersembahkan sesuatu yang spontan, hidup dan lebih dekat dengan penonton.

Perancangan

“Saya menerima watak Eggsy kerana ia satu karakter yang telus dan hampir sama dengan watak-watak yang pernah saya mainkan di pentas teater. Bukan berpura-pura dan tidak disembunyikan di sebalik kekayaan atau ketampanan.

“Saya patut berterima kasih kepada pengarah, Vaughn dan rakan pelakon, Colin Firth yang percaya saya mampu membawakan watak Eggsy walaupun pada ketika itu saya tiada latar belakang lakonan yang hebat,” tuturnya ceria.

Bergandingan dengan nama-nama hebat dalam Kingsman: The Golden Circle seperti Channing Tatum, Halle Berry dan Jeff Bridges, ajaibnya ia bukan satu perkara yang membimbangkan anak muda ini. Hal itu sebaliknya menjadikan dia lebih berkobar-kobar untuk berlakon.

Kata pelakon yang memulakan karier sejak tahun 2012 itu, apa yang difikirkan sewaktu berlakon dalam Kingsman adalah perkara yang boleh dilakukan untuk sekurang-kurangnya menyamai tahap lakonan selebriti gred A tersebut.

“Bercita-cita besar ialah satu perkataan yang dipandang rendah dalam dunia kerana kebanyakan orang menganggapnya ia sia-sia. Bagi saya, itulah yang membantu menjadikan mutu lakonan semakin baik dari filem ke filem.


“Saya tidak kisah digandingkan dengan sesiapa kerana tahu apa yang saya mampu buat dan apa yang mahu dicapai dalam lakonan. Pada akhirnya, hanya kemampuan memberikan yang terbaik diambil kira,” ujarnya panjang lebar.

Sempat ditanya adakah memainkan watak perisik dalam Kingsman bakal menjadi titik tolak untuk dia mungkin bergelar ejen 007 James Bond, Egerton berkata itu bakal menjadi antara perkara terhebat dalam hidupnya.

Namun begitu James Bond, dia tidak mempunyai perancangan begitu dalam masa terdekat kerana berasa dirinya belum bersedia untuk memikul tanggungjawab memegang watak legenda tersebut.

“Dalam tempoh 10 tahun, Eggsy sudah boleh dipertimbangkan untuk menjadi perisik tersohor James Bond tapi bukan dalam jangka dua hingga lima tahun ini.

“Saya masih belum boleh mengubah diri untuk membawa watak serius dan sangat terurus seperti James Bond. Barangkali apabila lebih berusia, sikap saya juga turut sama berbeza,” katanya jujur.

Dalam pada itu, lelaki yang mempunyai maksud nama ‘kilat’ dalam bahasa Welsh ini sebenarnya turut berkebolehan menyanyi dan ia dibuktikan dalam filem animasi muzikal, Sing pada tahun 2016.

Membawakan latar suara Johny dalam Sing, Egerton berkata berlakon dalam filem muzikal juga antara impian yang masih belum terlunas sehingga kini.

Tambahnya, dia masih berasa ralat apabila memilih untuk menjadi pelakon sepenuh masa sedangkan dia pernah mempunyai peluang untuk mendalami dunia muzikal.

“Saya bermula dengan teater jadi menyanyi ialah sebahagian daripada pementasan. Sehingga sekarang, saya masih berasa sedikit menyesal kerana meninggalkan dunia teater dan muzikal begitu sahaja.

“Selepas filem Sing, saya sangat terdesak untuk mencari peluang untuk berlakon filem muzikal yang bagus. Saya harap boleh berlakon dalam karya bagus seperti La La Land,” jelasnya lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post