Mengakui kesetiaan sesebuah band untuk bergerak sehaluan agak sukar dipertahankan, Loque (kiri) bagaimanapun masih mengekalkan dua orang anggota asal Monoloque iaitu Bakri Ismail (kanan) dan Ijoo Gagak Hitam (tiada dalam gambar).
Sentiasa menyuntik elemen eksperimen dalam karya mereka, kumpulan Monoloque muncul dengan album ketiga berjudul Jangan Puja Sampai Kecewa yang dinaik taraf dengan banyak bunyi baharu.
Menjelaskan definisi bunyi baharu tersebut, vokalisnya Loque memberitahu, ia bukanlah genre baharu, sebaliknya merupakan bunyi yang dihasilkan selepas diadun dengan banyak bunyi lain.
“Muzik kami masih sama tetapi apa yang dimaksudkan dengan bunyi tersebut adalah kami berjaya menjumpai perkara baharu yang tidak pernah dilakukan dalam mana-mana karya sebelum ini.
“Ia termasuklah menyentuh bab teknikal dan susunan lagu yang masih mengekalkan elemen Nusantara demi memastikan imej kami tidak tenggelam dalam bunyi tersebut,” ujarnya pada majlis pelancaran album berkenaan baru-baru ini.
Tambah Loque, album tersebut mengandungi sebanyak 12 buah lagu termasuk single terbaharu berjudul Slagi Ada Waktu.
Menariknya, ia turut diselitkan dengan lagu daripada kumpulan Gersang, Masih Aku Terasa yang diadun semula dengan susunan muzik baharu.
Selain ingin membuka mata dan telinga pendengar tentang garapan bunyi muzik baharu yang dibawa, Monoloque turut berharap kemunculan album ini dapat menaikkan semangat pengkarya muzik lain untuk mengeluarkan material yang berkualiti selain menggambarkan jati diri sebagai rakyat Malaysia.
“Impian saya adalah untuk menjadikan segala karya yang kami hasilkan pada masa sekarang sebagai rujukan kepada anak cucu nanti.
Meskipun dunia muzik sentiasa berubah dengan kehadiran genre berbeza, namun Loque percaya seseorang penghibur perlu mempertahankan jati diri bangsa yang diwakili.
“Kalau kita yang hidup pada zaman sekarang masih dapat menerima dan menjadikan lagu-lagu dan filem-filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sebagai rujukan, itu juga impian yang saya mahu untuk karya ini,” katanya.
Halus
Menjelaskan tentang judul album tersebut, Loque berkata, ia merupakan suatu teguran halus kepada masyarakat yang gemar memuja sesuatu atau seseorang secara berlebih-lebihan tetapi sebenarnya apa yang dipuja itu juga ada keburukannya.
“Judulnya sangat umum tetapi apa yang disentuh adalah skeptikal masyarakat yang suka memuja benda atau orang luar. Memang tidak dapat dinafikan ada segelintir masyarakat kita yang gemar menjadikan orang luar contohnya dari Barat sebagai idola.
“Masyarakat beranggapan segala dari Barat sangat hebat dalam semua aspek, padahal mereka juga sama seperti kita. Orang Melayu juga ada yang hebat dan berbanggalah kita dengan negara sendiri,” ulasnya.
Ironinya, Jangan Puja Sampai Kecewa mengambil masa yang agak panjang untuk disiapkan sementelah banyak kekangan yang terpaksa dilalui Loque sepanjang proses menyiapkan album ini terutamanya masa.
“Saya sudah pun memulakan projek album ini sejak 2012 lagi. Namun, ia jadi tergendala selama bertahun-tahun kerana dalam tempoh itu saya banyak menerima tawaran untuk kerja lain.
“Antaranya membuat skor muzik bagi beberapa buah filem seperti Redha, selain baru-baru ini juga terlibat dalam penghasilan lagu tema Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
“Alhamdulillah, selepas melepasi banyak kekangan kami akhirnya berjaya melancarkan album ini khas buat peminat yang sentiasa menanti buah tangan terbaharu daripada Monoloque,” tutupnya.