Rita Rudaini Saya cuma melawak


Rita Rudaini mengakui dirinya kini masih solo dan hidup bahagia dengan dua anaknya.

“Saya cuma melawak mengatakan kalau pak dia ada, boleh pak dia yang ajar. Tidak sangka pula gurauan saya itu ditulis oleh penulis tersebut,” lirih Rita Rudaini berhati-hati selepas ada sebuah akhbar menulis tentang keinginannya untuk bekas suami, Aidil Zafuan Abd. Razak, melatih anak sulung mereka, Airit Rayyan Rizqin, 8, yang terpilih dalam pasukan bola sepak sekolah.

Bibir mungilnya tersenyum geli hati sambil menolak baik untuk tidak menyentuh panjang tentang hal itu kerana tidak mahu mengundang amarah dan persepsi buruk pada segelintir hati manusia.

Arif benar tentang situasi ibu hot itu, keinginan untuk bertanya lanjut mengenai hal berkenaan bernoktah di situ.

Miliki dua ‘hero’ yang semakin membesar dan menunjukkan bakat yang ada, Rita mengakui segala marah dan kecamuk yang dahulunya bertandang di hati kini berganti rasa menyeronokkan.

“Saya tidak pernah menghalang minatnya pada bola sepak. Maka, saya ambil jurulatih peribadi untuk mengajar Rayyan dalam sukan itu. Selain bola sepak, Rayyan juga menunjukkan minat pada sukan badminton dan bola keranjang. Pada masa sama, dia juga cenderung pada bidang muzik dan ada mengikuti kelas piano,” ujar Rita yang akan memberikan yang terbaik buat kedua-dua anaknya iaitu Rayyan dan Airit Qaqa Arjuna, 6.

Menyentuh soal hati sama ada ia masih kosong atau sudah berisi sebuah nama, aktres yang kekal jelita di usia 41 tahun itu hanya mengelengkan kepala.

“Saya masih solo daripada duhulu lagi dan masih tidak berminat untuk berkawan atau mempunyai kekasih. Saya sudah cukup bahagia dengan kehidupan bersama anak-anak,” getusnya yang mengakui, jika berkahwin sekali pun selepas ini, ia adalah kerana anak bukan untuk kepentingan peribadi.

Ketika ini, Rita sedang sibuk menjalani penggambaran drama 50 episod dengan Global Station, yang berjudul Cinta Seputih Rembulan. Insya-Allah, selepas habis penggambaran drama tersebut, wanita yang pernah popular dengan iklan Pepsi itu akan sambung penggambaran telemovie dengan Zeel Production pula.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post