Farah Idayu tebus kecewa sertai AF Megastar


Bekas peserta Akademi Fantasia (AF) musim ketiga, Idayu menyifatkan penyertaannya dalam program realiti, Akademi Fantasia Megastar sebagai penawar mengubati kekecewaan selepas impian bersaing dalam rancangan Duo Star sebelum ini tidak kesampaian.

Idayu, 32, sepatutnya bergandingan dengan juara AF2, Zahid dalam program realiti itu, tetapi entah di mana silapnya, nama mereka tidak tersenarai sebagai finalis.

"Saya pernah menerima tawaran menyertai Duo Star bersama Zahid. Namun, ia senyap begitu saja dan saya tidak pasti apa sebenarnya berlaku. Memang saya agak kecewa kerana mengimpikan ruang untuk mengasah bakat.

"Selepas itu, saya ditawarkan menghadiri uji bakat AF Megastar. Mengenangkan apa yang pernah berlaku, saya agak tawar hati menyertainya kerana bimbang dikecewakan lagi. Selepas mendapat sokongan padu suami, saya cuba menghadiri uji bakat.

"Rezeki nampaknya menyebelahi apabila nama saya terpilih dalam senarai awal," katanya.

Walaupun sudah memiliki album, pemilik nama Nur Farah Idayu Yaakob itu tidak malu mempertaruhkan bakatnya untuk dinilai peminat.

"Sudah lama saya tidak muncul di kaca televisyen, jadi ini peluang terbaik untuk saya memperkenalkan semula nama.

"Saya mahu membuktikan bakat dan kematangan kerana tidak berpeluang melakukannya ketika di AF apabila tersingkir awal," katanya.

Penyanyi yang berasal dari Kelantan ini tersingkir pada minggu keempat persaingan ketika mendendangkan lagu Tiada Lagi Tangisan yang pernah dipopularkan Misha Omar.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post