Norman Hakim & Memey Suhaiza sanding kali kedua



Norman Hakim berjabat tangan dengan Pengarah Urusan Mahligai Impian Catering, Abu Khamid Al Ghazali (tiga dari kiri) pada majlis sidang akhbar memperkenalkan Norman dan isterinya, Memey Suhaiza sebagai duta syarikat itu baru-baru ini.

Gimik bersanding untuk kali kedua sempena ulang tahun perkahwinan dilihat semakin menjadi ikutan dalam kalangan selebriti selepas Siti Sarah dan Shuib Sepahtu melakukannya tahun lalu.

Kali ini, giliran pasangan Norman Hakim dan Memey Suhaiza pula untuk merasai kemeriahan bergelar pengantin kali kedua apabila bakal naik pelamin sekali lagi bagi meraikan sambutan tahun keenam ikatan pernikahan mereka.

Norman dan Memey mempunyai dua anak lelaki iaitu Mohamed Darwish Hakim dan Muhammad Dirkhriz Hakim.

Menurut Norman, idea ini timbul apabila mereka berdua dilantik sebagai duta sebuah syarikat katering iaitu Mahligai Impian Catering baru-baru ini.

Pada awalnya dia dan pihak Mahligai Impian Catering sekadar berbincang tentang konsep majlis pelantikan mereka secara rasmi sebagai duta sebelum timbul tentang rancangan bersanding sekali lagi.

“Saya beruntung kerana pengasas Mahligai Impian Catering, Abu Khamid Al Ghazali (Pengarah Urusan) dan Muhamad Al-Fateh Hafizi (Pengarah Operasi) berbesar hati untuk menaja dan mengadakan majlis persandingan kami ini.

“Ya, saya akui gimik bersanding semula ini seperti satu trend tetapi bagi saya, ia bukan satu perkara yang salah jika niat serta pengisian majlis itu memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar majlis pengenalan Norman dan Memey sebagai duta Mahligai Impian Catering di The Royale Chulan The Curve, baru-baru ini.

Setakat ini, pengesahan lokasi majlis bersanding dan jumlah tetamu yang bakal dijemput masih dalam perbincangan.

Menurut Abdul Khamid, pihaknya memilih pasangan tersebut selaku duta syarikat kerana kagum dengan nilai kekeluargaan yang ditunjukkan oleh Norman terutama dalam mengekalkan hubungan baik dengan bekas isterinya, Abby Abadi.

“Keluarga Norman dan Memey ialah antara contoh keluarga harmoni dengan ciri-ciri kasih sayang seperti yang mahu ditonjolkan kepada pelanggan kami terutama bagi yang baru hendak mendirikan rumah tangga,” ujarnya lagi.

Memori

Sementara itu, Memey pula tidak dapat menyembunyikan rasa teruja diberi peluang untuk bergelar pengantin lagi kerana mahu mencipta kenangan tersendiri terutama dengan anak-anak mereka.

Tambah wanita berusia 29 tahun itu, sewaktu bernikah enam tahun lalu, dia masih belum berhijab dan banyak gambar sewaktu hari bahagianya itu tidak dapat dikongsi bersama peminat dalam laman sosial.

Oleh sebab itu, dia tidak sabar untuk mencipta memori baharu bersama baju persandingan Muslimah rekaan Eja Shahril ditambah pula dengan kehadiran cahaya mata pada hari berkenaan.

“Ini juga menjadi medium untuk kami anak beranak termasuk Abby dan suaminya, Jai Ezzany untuk sama-sama berkumpul beramai-ramai kerana jika pada hari biasa, tuntutan masa menjadi penghalang untuk bertemu.

“Saya yakin anak-anak akan menjadi orang paling gembira pada majlis itu kelak dan mereka bakal mencipta kenangan istimewa dalam hidup,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, meskipun kehadiran Abby dan suami amat diharapkan pada majlis itu, Norman berkata masih tiada pengesahan yang diterima daripada pihak bekas isterinya.

“Doakan kami sekeluarga dapat beramai-ramai hadir ke majlis yang bakal berlangsung pada 24 September depan,” tuturnya tenang.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post