Adam AF selesa hidup solo


Adam selesa menjalani kehidupan solo selepas berpisah dengan bekas isteri, Fiza Abdul Halim pada Disember 2015.

Popular dengan lagu Tak Tahu dan Menggegar Dunia, penglibatan Adam dalam industri hiburan tanah air tidak hanya tertumpu pada bidang nyanyian, sebaliknya dia juga pernah muncul menerusi filem Cinta Fotokopi, Main Main Cinta dan Diva.

Selepas penglibatan dalam filem Diva pada tahun 2008, kisahnya tidak lagi kedengaran sehingga ada yang percaya pemilik nama sebenar Mohd. Aizam Mat Saman telah hilang dari radar industri hiburan tanah air.

Kemudian, nama bekas peserta program realiti, Akademi Fantasia (AF) musim kedua itu kembali menjadi sebutan apabila dia mendirikan rumah tangga bersama pelakon yang juga merupakan bekas anggota kumpulan Elite, Fiza Abdul Halim.

Mendirikan rumah tangga pada tahun 2013, perkahwinan pertama buat Adam dan kedua bagi Fiza itu nyata tidak mampu bertahan lama apabila kedua-dua memilih untuk berpisah pada Disember 2015.

Perhatian kemudian hanya banyak diberikan kepada kisah kegagalan rumah tangga berbanding cerita mengenai usahanya untuk kembali aktif dalam industri.

Bersesuaian dengan perancangan untuk membuat kemunculan semula, tawaran menyertai program AF Megastar pastinya menjadi peluang yang tidak akan dilepaskan.

Meletakkan harapan tinggi agar kerjaya nyanyiannya kembali bersinar, lelaki berusia 34 tahun itu memberi jaminan akan terus berusaha mengembangkan bakat dalam bidang nyanyian.

KOSMO!: Bagaimanakah perkembangan kerjaya seni Adam sekarang setelah hampir 10 tahun menyepikan diri?

ADAM: Saya masih ada dalam industri, namun tidak terlalu aktif mahupun menyerlah terutama menerusi media massa. Selain itu, saya lebih memberi tumpuan kepada pengurusan perniagaan produk kesihatan jenama Nursharif. Dalam pada itu, saya juga mempunyai syarikat kontraktor pembinaan di Sabah. Disebabkan kesibukan jadual kerja, saya kurang memberi tumpuan kepada kerjaya nyanyian sehingga ia dilihat sepi oleh peminat. Biarpun begitu, kini saya muncul menerusi program AF Megastar.

Sekiranya lebih memberi perhatian kepada bidang perniagaan, mengapakah anda menerima tawaran menyertai program tersebut?

Saya menerima tawaran menyertai program berkenaan kerana ramai peminat mula bertanyakan tentang kemunculan semula saya dalam industri. Oleh itu, saya merancang untuk membuat kemunculan semula pada tahun ini dan secara kebetulan peluang itu tiba. Jadi, saya berasa tidak salah untuk mencuba dan menjadikan program tersebut sebagai platform untuk menceburkan diri dalam bidang seni semula.


FESYEN ‘bandangan’ yang digayakan oleh Adam sewaktu menyertai program AF musim kedua pada tahun 2004 mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat.

Sekiranya sibuk dengan aktiviti seni, bagaimanakah dengan pengurusan perniagaan anda?

Pengurusan perniagaan berjalan seperti biasa dan saya tidak berdepan dengan masalah kerana mempunyai kakitangan yang cukup untuk menguruskannya. Saya hanya perlu memantau sekiranya terdapat sebarang permasalahan. Jadi, secara tidak langsung ia memberikan saya peluang untuk terlibat dengan aktiviti lain.

Apakah perancangan anda untuk membuat kemunculan semula?

Mengikut perancangan, dalam tempoh terdekat ini saya akan melancarkan single baharu. Tajuk lagu tersebut masih dalam perbincangan tetapi ia dihasilkan dengan duit dan konsep sendiri. Tidak hanya itu, saya juga merancang untuk memilih pihak syarikat pengurusan bagi membantu melancarkan aktiviti seni dengan mudah.

Sekiranya banyak masa diberikan untuk menguruskan kerjaya, bagaimanakah dengan kehidupan peribadi anda sekarang?

Selepas berpisah dengan bekas isteri pada tahun 2015, saya meneruskan kehidupan seperti biasa. Saya lebih memberi fokus kepada pengurusan perniagaan berbanding memikirkan soal cinta. Pada saya, perkara lama telah pun berlalu dan kini kami bahagia dengan kehidupan masing-masing.

Tidakkah anda mempunyai sebarang hasrat untuk kembali mendirikan rumah tangga memandangkan bekas isteri juga telah melangsungkan perkahwinan semula?

Buat masa ini, saya bahagia menjalani kehidupan solo. Saya berserah kepada takdir. Saya juga berpendapat jika ingin berkahwin semula, tidak perlu bercinta terlalu lama. Bagaimanapun, tidak dinafikan sekiranya ingin berkahwin kita perlu mengenali antara satu sama lain sebelum membuat sebarang keputusan.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post