Muaz Azman Guna duit simpanan


Anak muda ini mula menceburi dunia seni sejak di sekolah rendah dan me­ngeluarkan single sulungnya berjudul Menunggu Mu pada usia 15 tahun.

Tiga tahun kemudian, Muaz Azman memperkenalkan single ketiga, Nantiku Di Syurga khas untuk arwah Muhammad Syahid, anak anggota nasyid UNIC, Bazli Hazwan.

Penyanyi berusia 18 tahun ini memberitahu minatnya terhadap bidang nyanyian mendapat sokongan kuat daripada keluarga terutama ibunya, Hanizah Haron.

“Saya mula aktif menyertai aktiviti nyanyian di tadika ketika berusia lima tahun. Apabila memasuki darjah empat, saya mahu serius terhadap bidang ini dan menyertai program realiti menyanyi televisyen.

“Single pertama Menunggu Mu dihasilkan selepas berkenalan dengan seorang gitaris yang membantu mencipta lagu itu,” katanya di Balai Berita, baru-baru ini.

Menurut Muaz, dia memilih lagu sempena sambutan Aidilfitri tahun lalu sebagai single kedua yang berjudul Syawal Bahagia.

“Lirik dan melodi single itu dicipta saya bersama rakan, Iman Danial. Susunan lagu pula dilakukan produksi di Jakarta, Indonesia kerana bayarannya lebih murah,” katanya.

Kata penyanyi itu, bayaran berkenaan dibiayai meng­gunakan wang simpanan hasil titik peluh sendiri.

“Kedua-dua lagu Syawal Bahagia dan Nantiku Di Syurga dihantar ke produksi di Jakarta untuk dikemaskan.

“Ibu bapa turut membantu dengan menghulurkan sedikit wang. Mereka tidak halang menyanyi pada usia muda kerana mengetahui ia minat saya.

“Lagipun, saya sentiasa mengutamakan pelajaran dan hanya memperuntukkan tiga jam setiap hari untuk berlatih menyanyi, manakala, hujung minggu untuk undangan membuat persembahan,” katanya.

Namun begitu, Muaz tidak menafikan ada pihak pernah memandang rendah kebolehannya kerana usianya masih remaja.

“Ketika mula menceburi bidang seni, ada individu enggan bekerjasama dengan saya kerana masih di bangku sekolah. Malah, ada rakan sekolah dan guru turut mengutuk saya.

“Bagi saya, bakat dan karier ini adalah rezeki daripada Tuhan. Pengalaman itu mengajar saya bersabar dan berdikari,” katanya.

Bercerita mengenai single Nantiku Di Syurga, Muaz berkata, hatinya tersentuh dengan nasib arwah Muhammad Syahid yang meninggal dunia akibat kanser pada Jun lalu.

“Saya kenal arwah sewaktu melawat wad pesakit kanak-kanak sebuah hospital dan tersentuh melihat kesusahan yang terpaksa dilalui mereka.

“Pesakit ini kelihatan kuat walaupun dalam keadaan sakit malah masih boleh ketawa. Lagu itu boleh ditujukan untuk orang disayangi kerana menyelitkan elemen kasih sayang,” katanya.

Seperti single kedua, lirik Nantiku Di Syurga dicipta bersama Siso Kopratasa dengan bantuan Iman.

Post a Comment

Previous Post Next Post