Farawahida Rumah tangga kami bahagia


Sudah namanya selebriti pastinya tidak terlepas dengan gosip dan kontroversi termasuk isu berkaitan rumah tangga mereka.

Begitu juga rumah tangga penyanyi Farawahida, 32 dan suaminya, ahli perniagaan, Abdul Shukor Mohd Zain yang didakwa bermasalah ketika ini.

Namun, Farawahida tidak cepat melatah dan menganggap gosip rumah tangga sebahagian harga yang perlu dibayar sebagai anak seni.

“Sebenarnya, gosip mengenai rumah tangga saya mula diperkatakan orang sejak awal tahun lalu. Saya juga dapat banyak kiriman pesanan yang bertanya sama ada saya sudah solo sekarang?

“Mungkin gosip timbul kerana saya tidak berkongsi kisah peribadi di media sosial dan orang yang rajin melihat Instagram saya tengok tidak ada gambar suami di situ.

“Saya tidak buang gambar suami seperti dakwaan orang tetapi memang jarang letak gambar suami di Instagram,” katanya.

Menurut Farawahida, dia memang tidak suka berkongsi kisah peribadinya sejak zaman mereka bercinta.

“Walaupun bergelar selebriti, ada perkara yang tidak perlu dikongsikan pada umum. Alhamdulillah, rumah tangga kami masih bahagia sejak empat tahun lalu,” katanya.

Ditanya penerimaan suami pula, kata Farawahida, suaminya juga menganggap gosip rumah tangga sebagai lumrah dalam dunia selebriti.

“Kami sudah berbincang mengenai perkara ini sebelum berkahwin lagi. Bukan saja suami memahami karier seni, saya juga memahami kerjayanya sebagai ahli perniagaan.

“Masing-masing juga tidak suka kongsi cerita peribadi di laman sosial. Suami juga percaya gosip rumah tangga kami itu tidak betul,” katanya.

Beralih soal anak pula, Farawahida mengakui sudah bersedia untuk bergelar ibu.

“Memang saya sudah berusaha mendapat anak tetapi nampaknya belum ada rezeki lagi dan ia ketentuan Allah. Saya juga sentiasa berfikiran positif sejak tahun pertama perkahwinan.

“Saya juga pastikan masa terluang diisi dengan aktiviti seperti memasak, bermain badminton, futsal dan berkebun,” katanya.

Farahwahida dan Abdul Shukur diijabkabulkan di Sentosa Villa Resort, Taiping, Perak pada 16 Disember 2013.

Tidak tumpang nama Alyah

Bercerita perkembangan karier nyanyian pula, buat julung kalinya, Farawahida bergandingan dengan penyanyi Datin Alyah menerusi lagu duet Mengapa Harus AKu yang dilancarkan, baru-baru ini.

Menurut penyanyi lagu Jangan Tanya Aku Lagi itu, lagu duet berkenaan gandingan pertamanya dengan isteri Datuk Ramli MS itu. Sebelum ini, Farawahida pernah berduet dengan penyanyi Endang S Taurina menerusi lagi Di Sini Ada Cinta pada 2007.

“Saya bersyukur kerana dapat bekerjasama dengannya. Bagi saya, Alyah penyanyi yang mempunyai vokal yang hebat. Apabila dapat berduet ini peluang buat saya.

“Tidak timbul saya terima tawaran kerana mahu menumpang popularitinya. Saya terima pun sebab kerana ia projek bersama. Jarang kita dapat lihat dua penyanyi wanita bergabung dalam satu lagu dan ia pengalaman berbeza buat saya.

“Insya-Allah, jika dapat sambutan, mungkin kami boleh buat single duet kedua pula nanti,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Farawahida berkata, dia sudah enam tahun tidak muncul dengan lagu baru.

“Kali terakhir ialah lagu Jangan Tanya Aku Lagi ciptaan Manusia Puteh. Saya merancang muncul dengan lagu solo selepas ini. Lagu sudah ada tetapi belum dirakam. Ia mengambil sedikit masa kerana saya sudah bergerak sendiri menguruskan karier seni,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post