Mother! penuh misteri


Filem terbaru arahan Darren Aronofsky berjudul Mother! bakal menjengah pawagam pada 15 September ini. Bagaimanapun, sehingga hari ini, tidak banyak maklumat mengenai filem seram psiko itu didedahkan.

Ini kerana pengarah filem Black Swan terbabit mahu merahsiakan maklumat terperinci mengenai Mother! agar menjadi kejutan kepada penonton.

Malah, nama setiap karakter juga ‘rahsia’ apabila hanya menggelarkan watak utama sebagai Mother (Jennifer Lawrence), Him (Javier Bardem), Man (Ed Harris) dan Woman (Michelle Pfeiffer).

Namun, ini perkara biasa dalam industri perfileman kerana lazimnya pencipta filem yang memilih untuk mengunci mulut adalah bagi karya yang membabitkan misteri serta plot cerita berpusing-pusing.

Ketika temu bual baru-baru ini, Aronofsky hanya menggambarkan filem itu mengandungi elemen pencerobohan rumah, ibarat pelayar peluru pandu menembak dinding dan pengalaman mencemaskan.

Berdasarkan sinopsis ringkas, Mother! mengisahkan sepasang suami isteri berdepan ujian besar apabila dua pelawat tidak diundang muncul di kediaman mereka.

Dalam video trailer filem itu, seorang lelaki muncul di kediaman pasangan terbabit kerana menyangka tempat itu adalah rumah tumpangan.

Tanpa membocorkan sebarang maklumat penting, Aronofsky memberitahu hanya beberapa individu saja menonton Mother! sebelum tayangan.

“Setiap orang mempunyai sudut pandangan berbeza mengenai filem ini. Karya yang mampu menjadi bualan penonton selepas beberapa hari menyaksikannya adalah inspirasi saya,” katanya.

Menurut pengarah berusia 48 tahun dari Brooklyn itu, dia melengkapkan skrip Mother! dalam tempoh lima hari saja.

“Selepas selesai menulis skrip, saya teruja apabila dimaklumkan Jennifer berminat membintangi filem ini memandangkan jadual dia sangat padat.

“Tambahan pula, Jennifer perlu memberi komitmen selama tiga bulan untuk membuat latihan sebelum penggambaran bermula di Brooklyn, New York,” katanya.

Bukan saja Lawrence, pengarah itu turut terharu apabila barisan bintang utama lain memberi kerjasama sepenuhnya dengan menghadiri sesi latihan.

“Bukan mudah untuk mendapat komitmen seperti ini daripada bintang ternama dan bertuah kerana masa diluangkan mereka sungguh berharga bagi saya,” katanya.

Jennifer pula ketika ditemu bual majalah Vogue, baru-baru ini mengakui bukan jenis yang gemar menghadiri sesi latihan namun tidak menafikan profes itu membantu dia melakonkan wataknya dengan lebih baik.

“Saya tidak suka berbincang mengenai lakonan kerana ia topik sukar dan membuatkan saya seperti seorang yang menjengkelkan. Namun, Mother! memberi saya banyak pengalaman baru,” ujarnya yang sudah menyaksikan filem itu.

Seperti Aronofsk, Jennifer turut berhati-hati ketika berkongsi pengalamannya membintangi filem itu berikutan dia tidak dibenarkan mendedahkan apa-apa maklumat penting kepada umum.

“Saya sukar memberi gambaran mengenai filem ini kerana tidak dapat menggunakan perkataan yang mahu digunakan. Apa yang saya boleh katakan, filem ini unik,” katanya.


Trailer Mother!

Pelakon berkenaan memberitahu, dia patah salah satu tulang rusuk ketika penggambaran.

“Dalam filem ini, saya terpaksa memasuki tempat yang gelap dan tidak pernah melalui pengalaman sebegitu.

“Disebabkan itu, saya mengalami sesak nafas ketika penggambaran salah satu babak dan terpaksa bernafas menerusi tiub yang disalurkan dalam hidung. Keadaan itu menyebabkan saya sukar fokus,” katanya.

Lawrence berkata, selepas menghabiskan sejam bernafas menggunakan tangki oksigen, dia akhirnya berpeluang menghirup kopi panas di kedai berhampiran lokasi penggambaran.

“Saya cemas seketika apabila gagal menemui tombol pintu untuk keluar. Walaupun berada dalam keadaan keliru, saya seronok menjayakan babak ini,” katanya.

Mother! akan menemui penonton di Malaysia pada 28 September ini.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post