Sam Smith kembali


Selama dua tahun menyepi, penyanyi Sam Smith akhirnya memberi bayangan dia akan kembali dengan album baru pada masa terdekat.

Terbaru, dia mengumumkan Jumaat ini, single pembuka album itu yang berjudul Too Good at Goodbyes bakal dilancarkan. Penyanyi dan penulis lagu itu yang mencipta kejayaan cemerlang pada 2014 menerusi album sulungnya, In the Lonely Hour itu tidak dinafikan antara penyanyi baru British hebat selepas Adele.

Fenomena dicetuskan dirinya meninggalkan impak besar dalam industri muzik dunia. Bahkan, dia berjaya meraih trofi utama termasuklah Artis Baru Terbaik, Album Vokal Pop Terbaik dan Rakaman Terbaik di Grammy 2015.

Bagaimanapun, dia kemudian menyepi untuk memberi laluan kepada dirinya menulis lagu baru selain meninggalkan seketika dunia glamor. Dalam tempoh itu, Sam turut menjauhkan diri seketika daripada media sosial.

Nampaknya penyanyi Stay With Me itu kini sudah bersedia untuk menawan kembali pasaran muzik dunia. Berita gembira itu dikongsikannya di Instagram.

“Kepada semua peminat saya, pertama sekali saya mahu berterima kasih atas kesabaran anda serta memberi laluan buat saya ‘menghilang’ dan memberi kebebasan untuk menulis lagu.

“Kini saya sudah rasa ‘segar’ kembali dan banyak cerita mahu dikongsi dengan kamu semua,” katanya.

Apa yang pasti, proses penghasilan album itu ada cabaran tersendiri. Namun menurutnya, dia memberikan sepenuh jiwa raga sepanjang proses pembikinan album itu.

“Saya sangat merindui kamu semua dan tidak pernah sehari terlepas membaca komen serta bermimpi untuk menyanyi semula buat kamu semua. Penantian itu hampir berakhir. Sesuatu bakal keluar tidak lama lagi. Rasa teruja dan takut pada masa sama.

“Saya sudah memberikan yang terbaik dalam rakaman itu. Sayang kamu semua dan jumpa kamu tidak lama lagi,” katanya.

Tidak dinafikan, album baru Sam paling menjadi sebutan dan dinanti-nantikan tahun ini. Bagaimanapun, butiran album itu masih dirahsiakan labelnya, Capitol Congress.

Mereka hanya berkongsi sedikit maklumat iaitu beberapa lagu dalam album itu dihasilkan di Nashville, Tennessee, Amerika Syarikat (AS). Sebanyak 130 lagu ditulisnya bersama rakan kolaborasi lamanya, Jimmy Napes.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post