Izzue Islam tak letak syarat untuk Forteen


Izzue Islam teruja untuk memasuki sesi latihan teater bangsawan pertamanya, Bahara Emas yang akan dipentaskan di Auditorium DBP pada 19 hingga 22 Oktober depan.

Mendapat kepercayaan membawakan watak Tun Busu dalam teater Bahara Emas yang bakal dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada Oktober depan, pelakon Izzue Islam mengakui teruja dengan peluang yang dihulurkan pengarah naskhah berkenaan, Siti Rosminah Tahir.

Di sebalik projek terbaharu aktor filem Aliff Dalam 7 Dimensi itu, ada sesuatu yang menarik untuk dikupas mengenai penglibatannya dalam teater terbitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama CTRA Production, DBP, Istana Budaya dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) tersebut.

Masakan tidak, jika dilihat menerusi teater terdahulu lakonan Izzue seperti Ombak Rindu dan Projek Kahwin, setiap kali tersenarai sebagai antara pelakon utama, pasti terselit nama-nama anggota kumpulannya Forteen turut terlibat dalam naskhah yang sama.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Izzue yang ditemui dalam sesi fotografi bersama pelakon teater Bahara Emas di Istana Budaya baru-baru ini.

KOSMO!: Bagaimana Izzue mendefinisikan mandat daripada produksi teater Bahara Emas untuk membawa peranan utama dalam naskhah berkenaan?

IZZUE ISLAM: Mula-mula, pastinya saya sangat bersyukur apabila diberi peluang untuk beraksi dalam teater Bahara Emas. Bagi saya, bukan mudah untuk sesebuah produksi membuat keputusan dalam soal meletakkan kepercayaan kepada seseorang pelakon untuk membawakan watak utama menerusi sesebuah teater, khususnya yang berbentuk bangsawan.

Apatah lagi apabila mempertaruhkan pelakon yang tidak banyak pengalaman seperti saya. Jadi, apabila diberi kepercayaan yang sebegitu besar, saya rasa bersyukur dan bertekad mahu memberikan 100 peratus komitmen dalam teater ini.

Adakah naskhah berkenaan merupakan teater bangsawan pertama anda?

Ya benar. Saya sangat gementar namun dalam masa sama begitu teruja. Saya tidak pernah melalui proses menjayakan sesebuah teater bangsawan yang dianggap begitu berlainan berbanding teater konvensional. Sebagai pelakon saya perlu menjaga lenggok bahasa istana dan pergerakan badan agar bersesuaian dengan setiap babak. Projek ini memberikan semangat untuk saya mempelajari ilmu baharu.

Anggota Forteen yang lain juga berlakon dalam teater berkenaan. Adakah itu merupakan syarat yang dikenakan sekiranya khidmat lakonan anda diperlukan dalam sesebuah produksi?

Ini merupakan teater ketiga yang melibatkan saya bersama anggota Forteen yang lain. Bagaimanapun, saya tidak pernah meletakkan syarat sedemikian kepada produksi.

Sebenarnya ia merupakan rezeki kepada Forteen apabila pengarah sendiri yang mahu mereka berlakon dalam teater ini. Pada saya ia merupakan peluang yang bagus buat Forteen.

Biasanya, anda akan mendapat watak yang lebih besar peranannya berbanding ahli Forteen lain, boleh jelaskan?

Dalam sesebuah teater, sekecil mana pun karakter ia tetap watak penting yang akan menghidupkan naskhah berkenaan.

Tidak kira watak utama, tempelan atau penari, mereka semua menyumbangkan peranan tersendiri. Saya yakin, sesebuah naskhah tidak akan hidup tanpa kehadiran watak-watak sebegitu.

Selain Bahara Emas, boleh kongsikan perkembangan karier lakonan dari sisi yang lain?

Saya baru balik daripada percutian bersama peminat di Lombok, Indonesia selama lima hari yang bermula 26 Ogos lalu. Selain itu antara drama lakonan saya yang sedang ditayangkan sekarang adalah drama rantaian Ops Cinta Din Sardin di TV9 dan ulang siar Patahnya Sebelah Sayap di TV3.

Saya juga baru selesai penggambaran drama Kisah Yang Hilang untuk slot Seramedi di TV3 dan sebelum teater Bahara Emas berlangsung, saya akan masuk ke set penggambaran XX Ray 3 arahan Aziz M. Osman pada 11 September ini.

Bagaimana pula perkembangan dalam bidang nyanyian?

Saya masih lagi bersama Forteen dan kami dalam rangka mempromosikan single baharu berjudul Apa Ini Cinta. Untuk kerjaya solo pula, selepas kejayaan sambutan lagu Bimbang, saya baru sahaja melancarkan single Sahabat yang merupakan hasil ciptaan bersama Awin, isteri saya.

Kedua-dua single solo itu dijadikan runut bunyi dalam drama Ops Cinta Din Sardin.

Sesudah bergelar pelakon, penyanyi, pengacara dan kini komposer, apa lagi yang anda mahu capai sebagai anak seni?

Saya teringin hendak menulis lirik dan gubahan lagu. Selama sembilan tahun dalam industri, ia juga bukan satu tempoh yang panjang. Saya harus terus bersaing dengan pendatang baharu dan masih banyak perkara yang ingin dilakukan.

Contohnya, baru sekarang saya berpeluang berlakon teater bangsawan. Ini yang membuatkan saya tidak pernah puas menerokai bidang baharu selain mematangkan kemahiran dalam bidang sedia ada.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post