Gaya kerja Zul Ariffin


Zul Ariffin menurunkan berat badan sebanyak 12 kilogram dalam masa lima minggu demi mendapatkan bentuk tubuh yang tegap bagi menjayakan watak si penunggu hutan bernama Ejim atau Tombiruo.

Tempoh sedekad membina nama dalam industri hiburan bukan satu tiket besar buat pelakon Zul Ariffin untuk mendabik dada sebagai senior dalam bidang lakonan.

Sebaliknya, jangka masa tersebut dianggap sekadar waktu persediaan. Pengalaman 10 tahun diharap cukup untuknya mengucapkan salam perkenalan buat industri perfileman tempatan.

Dua projek filem terbesarnya untuk tahun 2017 iaitu J Revolusi yang ditayangkan pada Mac lalu dan Tombiruo pada Oktober akan datang, disifatkan sebagai kejayaan peribadi buat lelaki itu.

Biarpun pernah membintangi beberapa filem sebelum ini, Zul mendefinisikan tahun 2017 sebagai tempoh pencapaian terbaik dalam kerjayanya. Catatan tersebut sekali gus memberikan lebih keyakinan buatnya untuk terlibat dengan naskhah-naskhah hebat pada masa akan datang.

Dikategorikan sebagai pemilik aset populariti yang tidak kurang hebatnya dalam dunia hiburan tanah air, Zul bagaimanapun masih berhati-hati mengatur langkah bagi memastikan kariernya tidak tamat separuh jalan.

Pada saat banyak pelakon lain sibuk mengejar tawaran dan menggunakan sepenuhnya tempoh laku sebagai hero, lelaki berbadan sasa itu mengambil pendekatan yang jauh berbeza.

Contoh terdekat ialah bagi sepanjang tahun ini, pemilik nama sebenar Zulkifli Ariffin itu hanya terlibat dengan sebuah penggambaran drama bersiri berjudul Titian Cinta untuk slot Akasia. Selebihnya, dia menggunakan baki masa yang ada untuk menjayakan promosi filem J Revolusi dan Tombiruo.

Berani dan berisiko, namun Zul seperti tidak ralat dengan keputusan tersebut. Malah dia seperti berada dalam keadaan yang sangat terkawal, terbaik dan penuh semangat bagi menjalankan tanggungjawab sebagai peneraju terhadap produk-produk lakonannya.

“Bagi sesetengah pelakon, mereka memilih untuk menyelitkan sebanyak mungkin tawaran sementara diri masih laris tetapi saya mempunyai pendirian berbeza.

“Ya, semua pelakon bermusim tetapi yang penting, kita tahu bagaimana hendak kekal dalam industri. Jika semua tawaran dibolot dengan alasan hayat popular yang singkat, pada pandangan peribadi saya, golongan itu seperti sudah memutuskan bahawa mereka tidak akan lama dalam industri,” luahnya satu-persatu pada sidang akhbar majlis pelancaran trailer, poster dan lagu tema Tombiruo di The Bee, Publika, baru-baru ini.

Tambah pelakon yang popular dengan drama rantaian Rindu Awak 200% itu lagi, dia juga seorang yang percaya pada usaha keras dan rezeki yang sedia ditentukan oleh Allah.

Katanya, jangan terlalu terburu-buru membuat sesuatu keputusan tanpa duduk dan memikirkan kesannya untuk jangka masa panjang.

“Jangan gopoh dan gelabah kerana saya yakin rezeki itu ada. Andai kita berjaya buktikan bakat yang ada, peluang dan keyakinan penerbit tidak akan pernah hilang dalam kerjaya kita,” tuturnya tegas bersulam keyakinan.


Trailer Filem Tombiruo

Semangat Tombiruo

Mengalih bicara tentang wataknya sebagai Ejim atau Tombiruo untuk filem Tombiruo, anak kelahiran Taiping, Perak itu tidak dapat menyorok keterujaannya mengenai karakter yang dipegangnya.

Menerusi filem adaptasi novel Ramlee Awang Murshid itu, Zul tidak berbaju sepanjang durasi filem dan mukanya ditutup dengan topeng khas, sekali gus menjadikan dialog pertuturannya juga boleh dibilang dengan jari.

Sebagai Tombiruo, dia banyak bermain dengan gerak aksi badan dan emosi dalaman. Sesekali dia diperlukan untuk bertutur dalam bahasa Kadazan Dusun namun reaksi muka masih tersembunyi di sebalik topeng yang dipakai.

“Pelik dan kekok, itu perasaan saya untuk beberapa ketika dalam tempoh 59 hari penggambaran kerana banyak hal yang terbatas saat memakai kostum Tombiruo.

“Penglihatan saya perlu dua kali ganda peka terutama dalam babak pertarungan. Rambut palsu yang saya pakai juga ada masanya mengganggu fokus namun itu ialah pengalaman dan saya bangga kerana berjaya mengatasi kesukaran yang ada,” ceritanya sambil tertawa kecil.

Lelaki berusia 31 tahun itu juga mengambil masa selama lima minggu sebelum penggambaran bermula pada Ogos tahun lalu untuk menampakkan susuk tubuh yang cantik bagi watak Tombiruo.

Enggan tampil terlalu berbadan kekar atau sangat kurus, Zul terpaksa mengecilkan badannya daripada berat 92 kilogram (kg) menjadi 80kg agar susuk tubuhnya sesuai untuk menghidupkan Tombiruo di layar perak.

“Saya perlu tampil tegap dan gagah bagi filem ini kerana saya sudah tidak boleh ‘jual’ rupa atau reaksi muka memandangkan wajah sudah ditutup topeng.

“Terpaksalah saya ‘jual’ badan bagi mengisi imaginasi pembaca novel Tombiruo atau sekurang-kurang hampir menepati ciri-ciri Ejim yang bermain dalam minda khalayak,” katanya yang mengalami kecederaan ligamen pada lutut sewaktu menjayakan aksi lasak.

Mengalih topik perbualan ke arah isu yang lebih santai, Zul sempat berkongsi pandangannya berhubung suhu media sosial yang kadangkalanya menyesakkan fikiran.

Rehat Instagram

Jika diimbas kembali, sekitar awal Julai lalu, timbul ura-ura mengatakan akaun Instagram lelaki dengan jumlah 1.5 juta pengikut itu telah digodam apabila hilang secara tiba-tiba.

Namun, Zul tidak pernah mengiakan atau menafikan berita tersebut sehingga akaunnya muncul semula selepas beberapa minggu.

Rupa-rupanya, dia sendiri yang memilih untuk menyah aktif akaun tersebut kerana mahu memberi laluan kepada dirinya untuk melakukan aktiviti lain selain daripada mengemaskini laman tersebut.

“Kadang-kadang kita perlu berbuat begitu supaya fikiran tidak terikat atau ketagih dengan dunia itu. Sesekali saya akan menyah aktif akaun Instagram dan menikmati kehidupan seharian tanpa wujud rasa perlu untuk memberitahu apa yang sedang dilakukan atau di mana berada kepada semua orang.

“Namun ia hanya bersifat sementara kerana sebagai pelakon, saya mempunyai tanggungjawab terutama apabila ada filem atau drama baharu yang akan ditayangkan.

Bagi tujuan promosi, platform media sosial sangat memainkan peranan,” ujarnya yang tidak menolak untuk melarikan diri lagi daripada laman sosial pada masa akan datang jika ada tuntutan tertentu.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post