Bakal bertunang pada 6 Oktober depan, Sufian dan Elfira menyifatkan perkenalan singkat mereka menjadi mudah dan lancar kerana restu keluarga.
Siapa sangka, panggilan telefon yang dibuat oleh Elfira Loy ketika Sufian Suhaimi menghadiri sesi temu bual yang diadakan di sebuah stesen radio tempatan sekitar pertengahan tahun lalu telah membenihkan rasa cinta antara mereka.
Bagi Sufian, 25, bibit perkenalan berlangsung dalam suasana yang tidak dijangka tersebut bukan sahaja mendekatkan jaraknya bersama pelakon genit itu, malah ia turut membuka jalan buat mereka untuk melangkah ke fasa seterusnya.
“Ketika memenuhi undangan segmen Johara di radio Era pada Ogos tahun lalu, Elfira menghubungi saya dengan menggunakan nama samaran. Dia berbuat demikian kerana sangat meminati lagu Terakhir. Selepas insiden tersebut, kami keluar makan bersama dan perkenalan itu terhenti di situ.
“Sehingga pada hari ulang tahunnya yang ke-23 pada 8 Mac lalu, perkenalan tersebut bersambung kembali,” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan Restoran Seoul Garden di Melawati Mall, Ampang, Selangor baru-baru ini.
Mengimbau kembali kesungguhan Sufian menghadiahkan Elfira sejambak bunga yang berisi 23 kuntum bunga ros, penyanyi yang turut bergelar komposer itu dilihat begitu serius untuk mendekati wanita pujaan hatinya.
Justeru, selepas hampir tiga bulan berkenalan, Sufian mengambil keputusan untuk merisik Elfira pada penghujung Jun sebelum memutuskan untuk mengikat tali pertunangan pada 6 Oktober depan.
Sufian berkata, dia memutuskan untuk menyunting Elfira sebagai suri hidupnya walaupun hanya berbekalkan tempoh perkenalan yang singkat kerana percaya niat baiknya itu mendapat restu daripada Yang Maha Esa.
“Setiap perkara seperti dipermudahkan sepanjang perkenalan dengannya. Tambahan pula, ahli keluarga turut bersetuju dengan hubungan kami.
“Untuk mengelakkan pandangan kurang manis masyarakat, kami mengambil keputusan untuk lebih serius dalam perhubungan dan mengikat tali pertunangan,” katanya yang masih belum menentukan sebarang tarikh untuk majlis perkahwinan.
Ditanya pandangannya mengenai Elfira, jawab Sufian ringkas: “Dia merupakan seorang yang matang dan berjiwa besar. Walaupun usianya jauh lebih muda daripada saya, Elfira juga mempunyai visi dalam hidup,” katanya yang kini sedang sibuk mempromosikan lagu terbaharunya, Terasa Ada.
Kesungguhan
Dalam pada itu, Elfira Loy ketika ditemui pada majlis memperkenalkannya sebagai duta Maydan berkata, hatinya bersetuju untuk menerima lamaran Sufian setelah melihat kesungguhan lelaki tersebut untuk menawan hatinya.
“Saya ada juga kenal dan berkawan dengan beberapa orang lelaki sebelum ini, namun, semuanya tidak menjadi kerana mereka tidak serius dalam perhubungan. Biasanya, saya akan bagi masa tiga bulan sahaja. Jika tiada sebarang kemajuan, cukup sampai di situ sahaja.
“Berbeza dengan Sufian. Saya nampak keikhlasan dan kesungguhan dia untuk mengenali saya. Selepas tiga bulan kami berkawan, dia terus datang merisik untuk buktikan yang dia serius dengan hubungan ini,” katanya.
Mengenai persediaannya untuk mengikat tali pertunangan dan seterusnya melangkah ke alam perkahwinan, Elfira atau nama lengkapnya, Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri mengakui sedang berlatih untuk melakukan kerja-kerja rumah.
“Sebelum ini, saya jarang menguruskan hal ehwal di rumah kerana sibuk dengan kerja. Segalanya diserahkan kepada ibu.
“Menyedari bakal melalui fasa baharu, saya mula membiasakan diri untuk mengemas rumah dan turun ke dapur untuk memasak,” katanya menutup perbualan.