Fathia digugur kerana masalah disiplin
Syarikat produksi TenView Sdn Bhd menggugurkan Fathia Latiff daripada drama la Luna kerana mendakwa pelakon itu gagal memberi komitmen.
Penerbitnya, Norazah Sahud, mendakwa Fathia hadir ke lokasi penggambaran dalam keadaan tidak terurus menyebabkan penggambaran yang sepatutnya bersambung di Johor Bahru (JB) pada 14 September lalu tertunda.
"Penggambaran drama ini sudah bermula sejak dua minggu lalu di ibu kota, sebelum bersambung di JB. Sepanjang penggambaran di Kuala Lumpur, Fathia tidak menimbulkan sebarang masalah besar.
"Penggambaran di JB sepatutnya bermula bermula jam 9 pagi kelmarin, tetapi Fathia meminta supaya jadual dianjakkan kepada tengah hari. Kami sedia bertolak ansur dan memenuhi permintaannya.
"Masalah timbul apabila dia tiba dalam keadaan tidak bermaya menyebabkan penggambaran terpaksa ditunda.
"Kami cuba berdiplomasi dan masih memberinya peluang tetapi terkilan apabila dia gagal pula hadir ke lokasi penggambaran, semalam tanpa sebarang alasan," katanya.
Krew produksi drama la Luna.
Norazah berkata, ekoran masalah itu, pihaknya terpaksa menyingkirkan Fathia dan mencari pelakon pengganti kerana enggan mengambil risiko lagi.
"Dengan apa yang berlaku, ia menyusahkan kami dan sebagai pengajaran, kami sedang berbincang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya. Ketika ini, penggambaran terpaksa ditangguhkan dan hanya akan disambung semula Selasa ini," katanya.
Norazah berkata, perbincangan mengenai tawaran untuk drama itu sudah dilakukan sejak enam bulan lalu dan Fathia juga berjanji akan memberikan komitmen penuh.
"Saya pada mulanya agak ragu untuk menawarkan Fathia watak itu, tetapi selepas diyakinkan pengurus produksi, Kam Abdul Manap, saya bersedia memberinya peluang.
"Semua berjalan dengan baik pada awal, tetapi lain pula yang terjadi apabila penggambaran diteruskan di JB," dakwanya.
Terdahulu, nama Fathia kembali dikaitkan dengan kontroversi menerusi rakaman video di aplikasi Bigo Live bersama pelakon baharu, Natasha Elyzza, apabila kelibat wanita dalam rakaman itu dikatakan mirip dirinya.
Natasha bagaimanapun, menafikan wanita itu adalah Fathia dan memohon maaf atas kesalahannya itu.
Namun, apabila rakaman kedua tersebar, Natasha memilih untuk tidak memberikan komen.
"Apa orang nak cakap... cakaplah. Orang akan kecam juga. Yang tahu hal sebenar, tahulah," kata Natasha ringkas.