Karyawan seni yang terlibat dalam naskhah Che Pa bersama Ketua Unit Drama Premium & Filem Astro, Saniboey Mohd. Ismail (enam dari kiri).
Pendirian tegas yang diambil oleh Sabri Yunus selaku pengarah filem televisyen (FTV) terbaharunya, Che Pa bagi saluran Astro First untuk menukar teraju utama ternyata satu tindakan bijak.
Mengambil langkah berani meletakkan tanggungjawab watak utama, Che Pa di bahu pelakon Nam Ron telah menjadikan naskhah ini disuntik semangat Hadrah, tarian tradisional yang diketengahkan dalam FTV ini.
Menurut Sabri, pada mulanya ketika pihak penerbit, Zeel Production menawarkan peluang mengarah Che Pa, mereka datang dengan meletakkan Faizal Hussein selaku Che Pa.
Namun selepas sehari menjalani penggambaran dengan Faizal, Sabri berkata, dia perlu menukar pelakon utama kerana watak Che Pa tidak kena dengan aktor itu.
“Faizal tiada masalah dalam lakonan, cuma dia tidak boleh membawa watak Che Pa, seorang penari Hadrah yang mempunyai loghat Perlis, jalan berlenggang dan duduk bersimpuh.
“Saya bertegas mahukan Nam Ron kerana saya tahu dia boleh membawa karakter Che Pa, ditambah pula dia memang orang Perlis dan tahu sedikit sebanyak tentang sejarah Hadrah,” ujarnya pada sidang akhbar tayangan media Che Pa di GSC The Gardens baru-baru ini.
Menyedari Che Pa memasuki saluran Astro First dan penonton perlu membayar untuk menontonnya, Sabri menyatakan keyakinan kejayaan karya ini meskipun pelakon yang dipilih bukanlah berwajah komersial.
“Penonton sekarang lebih bijak untuk memilih karya yang mempunyai kandungan serta jalan cerita yang mampan berbanding membeli hanya untuk menatap wajah pelakon sahaja,” katanya lagi.
Tertekan
Sementara itu, di sebalik keberkesanan lakonan sebagai Che Pa, Nam Ron sebenarnya berdepan cabaran besar setiap kali ada babak yang memerlukan dia bersolek dan berpakaian seperti wanita.
Katanya, dengan cuaca yang tidak menentu sewaktu penggambaran, dirinya sering berasa rimas apabila perlu memakai rambut palsu dan muka ditepek solekan tebal.
Tidak cukup dengan itu, pelakon filem Redha itu juga perlu belajar menari Hadrah hanya dalam tempoh lima hari dan mengawal setiap pergerakan tubuhnya agar selari dengan perwatakan Che Pa.
“Saya berlakon sebagai Che Pa hampir tiga tahun lalu dan bila menonton hasilnya buat pertama kali hari ini, saya berasa malu kerana tidak sangka lakonan saya sangat menjadi.
“Ternyata setiap usaha yang saya berikan untuk menjayakan watak Che Pa berbaloi kerana saya sendiri tidak nampak yang sedang bercakap di layar itu adalah Nam Ron,” katanya yang tidak kisah menjadi pilihan kedua sewaktu pemilihan pelakon.
Che Pa ialah sebuah kisah yang menceritakan tentang Jaafar Husin atau Che Pa, seorang penari tarian tradisional Hadrah Seri Pauh yang terkenal di Perlis. Hadrah ialah sebuah tarian kebudayaan yang memerlukan penari lelaki berpakaian seperti wanita dan digelar sebagai Puteri.
Che Pa bergelut untuk mempertahankan seni kebanggaannya apabila zaman berubah dan rakan-rakan seperjuangan sudah mahu cuci tangan daripada terlibat dengan Hadrah.
Perjuangan Che Pa dalam mempertahankan Hadrah semakin lemah apabila anak kesayangannya, Bibah lakonan Putri Hanan, yang dahulu bangga dengan pekerjaan bapanya turut menyuruh Che Pa berhenti menari.