Filem Tombiruo: Penunggu Rimba diadaptasi daripada novel karya Ramlee Awang Murshid.
Bagi pencinta novel, karya Ramlee Awang Murshid sememangnya bukanlah sesuatu yang asing. Apatah lagi, bagi mereka yang memang cintakan sesuatu naskhah berbentuk thriller atau penyiasatan, bahan bacaan novel tulisan Ramlee antara yang sering menjadi buruan.
Jika hampir 20 tahun lalu, Ramlee pernah tampil dengan karya penulisannya yang diberi judul Tombiruo: Penunggu Rimba, kali ini, buat julung kalinya naskhah yang pernah mendapat tempat dalam hati pembacanya diangkat ke layar perak. Sememangnya, bagi pengikut setia karya-karya tulisan penulis tersohor itu, filem Tombiruo: Penunggu Rimba yang diadaptasi daripada novel terbitan tahun 1998 itu merupakan antara yang ditunggu-tunggu peminatnya.
Sudah menjalani penggambaran kira-kira setahun lalu, filem arahan Nasir Jani dan Seth Larney itu bakal menemui penonton di pawagam pada 12 Oktober ini. Menampilkan barisan pelakon tanah air yang cukup hebat, antaranya Zul Ariffin, Farid Kamil, Nabila Huda, Faizal Hussein dan Farah Ahmad.
Filem bergenre aksi itu juga mengetengahkan nama-nama lain seperti Datuk M. Nasir, Datin Marlia Musa, Faye Kusairi, Dynaz, Hasnul Rahmat, Michael Chen, Artu dan pelakon cilik, Muhammad Al-Rayyan.
Bagi Ramlee, dia mengakui bahawa berasa gementar untuk menantikan karyanya yang buat kali pertama ditayangkan pawagam tidak lama lagi.
Menurutnya, penghasilan berbentuk filem itu juga merupakan satu penghargaan buatnya dan pengikutnya yang selama ini banyak memberi sokongan kepada setiap novel yang dihasilkannya.
Tombiruo: Penunggu Rimba Trailer
Penulis berdebar
Bahkan, katanya penerbitan filem yang diadaptasi daripada novelnya itu juga secara tidak langsung merealisasikan impian pembaca setianya yang selama ini inginkan novelnya diangkat ke layar perak.
“Saya sendiri berasa berdebar untuk menantikan karya sendiri yang diberi peluang untuk diangkat ke filem. Apa yang saya boleh katakan, asas jalan cerita utama Tombiruo: Penunggu Rimba itu memang kita kekalkan.
“Cuma, kalau mahu masukkan keseluruhan seperti yang tertulis dalam novel mungkin agak mustahil. Lagipun, apabila bercakap mengenai filem, kita terikat dengan masa. Jadi, kita sudah berikan sehabis baik agar teras cerita itu ada dalam babak-babak filem,” kata penulis asal novel tersebut.
Ditanya mengenai judul Tombiruo: Penunggu Rimba, katanya, ia merupakan hasil cetusan ibu mertuanya yang juga merupakan daripada suku kaum Kadazan-Dusun.
“Di Sabah kita memiliki banyak etnik. Tombiruo ini agak sinonim dalam masyarakat Kadazan-Dusun yang disifatkan sebagai penunggu hutan.
“Bagaimanapun, dalam novel itu saya menggambarkannya lebih kepada hero yang turut saya tonjolkan menerusi watak Ejim dalam filem itu nanti,” kongsinya yang memberitahu turut terlibat sepenuhnya dalam proses skrip dan pemilihan pelakon.
Pegambaran dilakukan di kawasan hutan yang terletak di sekitar Sabah dan Selangor.
Zul bertopeng
Di awal cadangan untuk mengangkat novel tersebut ke filem, antara yang menjadi perbincangan utama termasuklah pendukung utama naskhah itu nanti untuk memegang watak sebagai Tombiruo.
Justeru, kata putus kemudian memilih pelakon Zul Ariffin untuk menggalas watak hero dalam filem itu nanti. Bagi Zul sendiri, dia merasakan peluang yang diberikan kepadanya itu sebagai satu cabaran dalam karier seninya.
Ini kerana, bukan mudah untuk menjayakan watak tersebut. Ini kerana, bagi merealisasikan watak Ejim atau Tombiruo itu, dia perlu menurunkan berat badannya mengikut gambaran penulis.
“Cerita itu mengisahkan lelaki yang duduk di dalam hutan. Jadi kalau saya kekalkan dengan bentuk badan asal, seperti tidak logik pula. Atas sebab itu, saya perlu turunkan berat badan sehingga 12 kilogram,” katanya yang memberitahu bentuk badannya kelihatan susut sepanjang dua bulan tempoh penggambaran.
Kongsi Zul lagi, watak Tombiruo itu juga memerlukan dirinya menyarungkan topeng muka. Mengakui agak berasa kekok, namun Zul memberitahu, lama-kelamaan dia mula membiasakan diri dengan kostum berkenaan.
“Selalu saya berlakon dalam cerita cinta. Bagaimanapun, filem ini memang lain daripada yang lain. Ini kerana, saya tidak mempunyai dialog yang banyak kerana memakai topeng. Jadi, saya lebih kepada menterjemahkan karakter saya itu kepada bahasa badan,” kongsinya.
Filem yang dirakam pada tahun lalu ini dijadual menemui penonton pada 12 Oktober depan.
Bahasa
Memandangkan filem ini berkait rapat dengan kisah kepercayaan masyarakat Sabah, justeru, pembikinan dialog percakapan dalam filem tersebut turut memberi penekanan kepada aspek bahasa dialek Sabah.
Bukan itu sahaja, filem itu juga akan mengetengahkan dialek Kadazan–Dusun yang turut diguna pakai. Situasi itu secara tidak langsung menjadikan Tombiruo: Penunggu Rimba sebagai sebuah filem yang mengangkat kepelbagaian kaum dan bahasa di negara ini.
Tombiruo: Penunggu Rimba memaparkan kisah lelaki bernama Ejim yang digelar Tombiruo dalam kalangan penduduk setempat kerana dianggap sebagai penunggu rimba.
Lelaki yang sentiasa bertopeng itu disisihkan penduduk kerana tidak memiliki wajah manusia. Bagaimanapun, kehidupan yang dijalani Tombiruo kemudian berubah apabila dia mahu membalas dendam atas insiden tragis yang berlaku ke atasnya.