Ammar Alfian Kembali dengan semangat baru


Raut wajah pelakon Ammar Alfian yang pernah membintangi Tari Tirana arahan Shahrulezad Mohameddin masih sama seperti pada awal kemunculannya tujuh tahun lalu. Cuma bezanya kini Ammar lebih matang sesuai dengan usianya yang menginjak angka 30 tahun.

Tambahan pula, anak jati Johor ini sudah mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan hatinya, Nelissa pada 6 Mac tahun lalu membuatkan dia semakin bijak menguruskan perjalanan hidupnya.

Menurut Ammar, selepas dua tahun menyepi dia kini kembali dengan semangat baru dan lebih memilih tawaran berlakon.

Baginya, pendekatan sebegitu penting bagi memastikan penonton tidak mudah bosan dengan lakonannya selain dapat kekal relevan dalam industri seni tanah air.

“Sudah lama tidak masuk ke set penggambaran. Drama terakhir saya adalah Hello Mr Perfect yang ditayangkan di TV3 dua tahun lalu.

“Saya rindu untuk kembali aktif berlakon kerana ia sudah sebati dengan jiwa. Saya mahu kembali dengan naskhah yang dapat menaikkan semula nama,” katanya.

Menurut Ammar, setiap kali mendapat tawaran lakonan, dia akan membaca skrip terlebih dahulu bagi memastikan watak itu bersesuaian dengan dirinya.

“Banyak juga tawaran saya tolak. Mana yang dirasakan sesuai dengan minat saja saya terima.

“Saya mahu elak bawa watak klise. Biarlah kemunculan saya meninggalkan impak positif kerana sebelum ini sering dikaitkan dengan cerita kurang enak,” katanya.

Ammar yakin dirinya masih ada pengikut meskipun sudah lama tidak muncul di kaca televisyen. Malah, dia sering melayani pertanyaan pengikut Instagram yang merindui lakonanya.

“Meskipun semakin ramai pelakon baru, saya tidak pernah rasa kehilangan atau dilupakan peminat.

“Buktinya walaupun sudah lama tidak berlakon, ramai bertanya bila saya akan kembali dengan drama baru apabila berkongsi gambar di Instagram,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ammar kini sibuk menguruskan pusat gimnasium, Anytime Fitness bersama seorang lagi rakan kongsi.

Kata Ammar, buat masa ini masanya banyak dihabiskan di pusat gimnasium itu.

“Saya seronok dengan komitmen ini. Banyak benda saya dapat belajar dan menjadi lebih berdisiplin untuk memajukan diri,” katanya.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post