Minatnya terhadap bidang muzik menjadikan Zal Azman memilih komposer sebagai kerjaya.
Pemilik nama sebenar Mohd Faizal Azman ini turut terpengaruh dengan muzik band Nirvana, Metallica, Wings, Search dan XPDC.
Mula bermain gitar ketika usia 14 tahun. Zal Azman suka meniru gaya permainan gitaris selain cover lagu band terkenal.
“Dari situ, timbul angan-angan untuk mencipta lagu sendiri dengan harapan, orang lain akan memainkan lagu ciptaan saya, kelak,” katanya kepada Media Hiburan.
Atas faktor itu, anak kelahiran Jengka, Pahang ini menubuhkan kumpulan AeroPlan pada 2014.
Walaupun pada awalnya, penubuhan itu hanya sekadar untuk 'suka-suka' tetapi bertukar serius dan mula mencipta lagu untuk bandnya.
Lantaran itu, Zal Azman mencipta tiga lagu iaitu Setia Menanti, Inspirasi dan Bukan Siapa Siapa sambil dibantu isterinya, Zara Alhaj yang bertindak sebagai penulis lirik.
Bagaimanapun, ‘jodohnya’ dengan AeroPlan tidak panjang kerana mahu lebih fokus dalam penciptaan lagu.
“Lagi pula, saya juga ada komitmen lain iaitu memberi fokus pada artis baru di bawah didikan saya iaitu Fikri Rafezin,” katanya.
Pada masa sama, jelasnya, impiannya adalah untuk mencipta jenama namanya, Zal Azman dalam industri tanah air.
“Saya bukan saja mencipta lagu, tapi bertindak sebagai music arranger bagi lagu-lagu ciptaan sendiri.
“Bermula daripada rakaman suara vokalis, merekodkan alat muzik hinggalah menyusun adunan muzik.
“Semuanya saya lakukan sendiri di dalam studio kecil di rumah saya,” katanya yang juga merupakan pencipta lagu Kemenangan Untukmu dan Harus Bagaimana.
Berani dalam berkarya
Terus bercita-cita tinggi dalam bidang penciptaan lagu, Zal Azman bagaimanapun menyedari pelbagai cabaran harus ditempuhinya.
“Sebenarnya, memang banyak cabarannya. Antaranya mencari vokalis atau suara sesuai untuk menyanyikan sesebuah lagu. Jika tersilap pilih vokal, lagu yang sedap pun akan jadi tak sedap didengar.
Selain itu katanya, kos alatan studio yang tinggi sehingga mencecah ribuan ringgit juga perlu dihadapi.
Tambahnya, bidang penciptaan lagu juga memerlukan usaha dan komitmen yang tinggi
“Pembahagian masa juga perkara paling penting kerana banyak urusan berkaitan orang lain.
Apa pun, katanya, paling utama perlu ada minat terhadap muzik dan tahu kod asas serta ada identiti sendiri.
Zal yang juga juruteknik makmal di sebuah syarikat minyak dan gas ini bersyukur kerana dianugerahkan ilham untuk mencipta melodi yang kadang-kadang dia sendiri tidak menyangka kebolehan itu.
Katanya, setiap komposer juga perlu berani membuat kelainan terhadap lagu-lagu mereka.
“Skopnya sangat luas kerana muzik itu subjektif. Saya sendiri sentiasa rasa teruja kerana ada saja benda baru yang saya belajar.
“Saya hanya mahu lagu saya didengar dan diterima oleh semua apatah lagi saya masih baru dalam bidang penciptaan lagu,” katanya.
Jelasnya, sebagai komposer, menjadi satu kepuasan apabila pendengar dapat menerima lagu kita dengan baik.
“Susah payah semasa proses mencipta lagu, cari vokalis dan proses merakamkan sendiri lagu itu juga, walaupun pahit tapi ada manisnya. Susah nak ungkap dengan perkataan," katanya yang berharap karyanya dikenali dan dapat menimba pengalaman dengan komposer-lain dalam industri ini.