Zaiton Sameon enggan ubah imej


Selesa dengan imej bertudung, Zaiton enggan mengubah penampilannya terutama sewaktu membuat persembahan pentas.

Mendengar semula larik-larik penuh emosi daripada lagu Menaruh Harapan dan Kabut Serangkai Mawar pastinya ingatan khalayak tercampak jauh mengenangkan zaman kegemilangan penyanyi Zaiton Sameon.

Meskipun namanya tidak lagi hebat diperkatakan seperti awal kemunculan pada era 1980-an, namun beliau tetap optimis terhadap kerjaya nyanyian.

Semangat wanita berusia 61 tahun itu dalam meneruskan keinginannya sebagai penyanyi ternyata tidak pernah padam. Biarpun mengetahui percikan populariti tidak lagi berpihak kepadanya, Zaiton tetap berusaha memberikan persembahan terbaik buat peminat.

“Kerjaya nyanyian telah menjadi sebahagian daripada diri saya, jadi agak sukar rasanya untuk melupakan segala apa yang telah diusahakan selama ini. Bahkan, bukan mudah untuk mencipta nama sebagai ‘diva’ suatu ketika dahulu.

“Disebabkan minat yang mendalam terhadap bidang muzik, saya tidak pernah terfikir untuk melupakan bidang nyanyian, apatah lagi berhenti daripada menjadi penyanyi,” kata wanita kelahiran Negeri Sembilan itu.

Malah, beliau turut melahirkan rasa syukur apabila peminat masih menerimanya sebagai penyanyi meskipun industri hiburan masa kini dipenuhi penyanyi baharu yang pastinya jauh lebih muda dan berkualiti.

Katanya, sokongan peminat menjadi pembakar semangat meneruskan usaha dalam bidang seni, sekali gus merancang untuk membuat kemunculan semula dengan material baharu tidak lama lagi.

“Reaksi positif peminat menjadikan saya bersemangat dan yakin untuk kekal menyanyi. Tambahan, cara mereka menyambut baik kehadiran saya terutama sewaktu membuat persembahan di Singapura dan Brunei baru-baru ini.

“Saya juga dalam perancangan untuk menghasilkan album baharu dan pastinya ia akan menjadi pengubat kerinduan peminat selepas menghasilkan album terakhir sekitar 1995 sebelum menerbitkan beberapa album kompilasi selepas itu,” terang Zaiton bersungguh-sungguh.

Mengulas lanjut, album baharunya yang masih dalam peringkat perbincangan dan pengumpulan material itu, Zaiton mahu tampil segar selain menyesuaikan karyanya dengan cita rasa pendengar masa kini.

Biarpun demikian, Zaiton memberitahu beliau, akan mengekalkan signatur sama seperti Menaruh Harapan selain selesa memilih muzik berentak balada berbanding genre lain.

Pada masa sama, Zaiton turut mengharapkan single duet bersama bekas wartawan, Syed Wafa yang kini bergerak sebagai pengurus acara berjudul Rindukan Pelukan Ibu mendapat sambutan baik daripada peminat.

Zaiton turut tidak menafikan bahawa perasaan rindunya untuk membuat persembahan pentas dan mengadakan jerayawara sama seperti yang pernah dilakukan sewaktu zaman popularitinya dahulu.

“Lagu baharu ini dihasilkan oleh komposer S. Atan. Ia merupakan permulaan sebelum melancarkan album penuh,” terangnya seraya tersenyum.

Selain merangka perancangan kemunculan semula, Zaiton juga tidak akan mengubah penampilan kerana berasa selesa dengan imej sopan dan berhijab.

Menurutnya, imej sekarang lebih sesuai dengan usia dan tidak perlu untuk berubah hanya kerana ingin membuat kemunculan semula atau melakukan persembahan nyanyian.

“Selain berasa selesa dengan imej sekarang, penampilan tidak perlu diubah kerana ini adalah diri saya yang sebenar dan biarlah ia kekal sebegini.

“Cukup dahulu saya tampil seksi mahupun menggayakan pelbagai warna rambut di depan khalayak.

“Jadi, sekarang lebih baik saya kekal dengan cara sebegini kerana itu lebih baik,” tutur Zaiton tatkala menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post