Kekangan waktu sebagai penyanyi membuatkan Wany Hasrita tidak dapat memberi kata putus untuk menyambung pelajaran ke peringkat sarjana.
Bukan mudah untuk menjalankan dua tanggungjawab besar dalam satu masa, apatah lagi dua tanggungjawab tersebut menuntut komitmen yang tinggi dari segi masa dan tenaga.
Bagi penyanyi baharu yang semakin mendapat perhatian ini, Wany Hasrita, tiada apa yang lebih membanggakan hatinya selain dapat menggenggam segulung ijazah ketika kariernya sebagai penyanyi sedang galak menuju ke puncak.
Menyifatkan ijazah sarjana muda Sains Perubatan yang diterimanya selepas menamatkan pengajian di Management & Science University (MSU), Shah Alam, Selangor baru-baru ini sebagai titik mula terhadap cabang pendidikan, Wany atau nama lengkapnya, Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 25, itu enggan terus leka.
Menurut penyanyi lagu Menahan Rindu itu, dia sentiasa mengintai peluang yang ada bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana agar cita-citanya untuk bergelar pensyarah menjadi satu kenyataan.
KOSMO!: Tahniah Wany kerana berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Sains Perubatan. Apakah perancangan anda selepas ini? Adakah anda akan beralih arah ke bidang perubatan dan bergelar doktor?
WANY: Terima kasih. Sejujurnya, buat masa ini saya mahu fokus kepada kerjaya terlebih dahulu. Tambahan pula, jadual kerja telah disusun oleh pihak pengurusan untuk beberapa bulan ke hadapan.
Berkenaan soalan mempraktikkan ilmu perubatan sebagai doktor, saya tidak ke arah itu. Hal ini kerana saya lebih tertumpu kepada bidang pendidikan dan mahu bergelar pensyarah.
Wany Hasrita - Rintihan Rindu
Apakah langkah yang perlu anda ambil jika mahu bergelar pensyarah?
Saya perlu menyambung pengajian ke peringkat sarjana terlebih dahulu. Namun, perkara tersebut agak mustahil kerana kekangan masa dan jadual kerja yang sangat padat. Bagaimanapun, saya tetap akan menyambung pengajian pada masa akan datang.
Jika benar-benar bersedia untuk menyambung pelajaran, adakah anda akan terus meninggalkan bidang seni?
Tidak sama sekali. Saya hanya akan menyambung pelajaran jika kerjaya tidak sesibuk kini. Barangkali, saya akan memilih untuk menyambung pengajian secara sambilan. Apa pun, ia perlu bergantung pada kesesuaian masa dan komitmen kerja juga.
Anda mempunyai latar belakang pendidikan yang bagus. Tidakkah berasa rugi jika fokus anda hanya tertumpu kepada bidang nyanyian?
Saya tidak melihat belajar dan bekerja dalam satu masa sebagai suatu perkara yang merugikan. Saya menganggap bidang seni sebagai rezeki dan ketentuan yang telah ditetapkan.
Tidak keterlaluan dikatakan, saya sendiri tidak menyangka akan berjaya sehingga ke tahap ini sebagai seorang penyanyi.
Bagaimanakah pula dengan respons keluarga?
Saya bersyukur kerana keluarga sangat memahami. Mereka sentiasa memberikan kata-kata semangat dan mahu lihat saya berjaya dalam hidup.
Boleh kongsikan perkembangan terkini anda?
Single kedua saya berjudul Rintihan Rindu baru dilancarkan pada Khamis lalu dan boleh didengar di saluran YouTube FMC.