Transisi Hazama


Jika sesetengah orang menganggap penantian ibarat satu penyeksaan tetapi di sebalik itu siapa tahu ada secebis kebahagiaan yang sedang menanti.

Begitulah juga buat penyanyi Hazama yang berpeluang menyanyikan lagu hasil ciptaan komposer disegani, Datuk M. Nasir.

Penantian selama enam tahun akhirnya terbalas dengan single terkininya yang berjudul Aku Yang Sebenar.

Bekas juara Akademi Fantasia musim keempat itu bersyukur kerana impiannya untuk bekerjasama dengan komposer tersohor itu menjadi kenyataan.

Kata Hazama, sewaktu pertama kali dia membaca lirik lagu terbabit, dia dapat merasakan karya itu cukup dekat dengan dirinya.

Menganggap lagu terbabit ada unsur ketuhanan, ujar jejaka berusia 33 tahun itu, dia sangat berpuas hati dan mampu mengukir senyuman setiap kali membawakan lagu tersebut.

“Saya datang ke syarikat rakaman M. Nasir di Luncai Emas selepas sifu itu meminta saya untuk berjumpa dia di sana.

“Asalnya lagu itu untuk penyanyi baharu tapi saya beritahu M. Nasir saya sukakan muzik itu.

“Saya nak buat album bukan hanya nak menyanyi lagu single semata-mata. Waktu pertama kali dengar muzik Aku Yang Sebenar, memang terus jatuh hati,” ceritanya.

Tambah Hazama, dia bersyukur kerana diberi kepercayaan oleh M. Nasir untuk membawakan lagu tersebut meskipun telah bertukar penyanyi asal.

“Alhamdulillah, dia lepaskan lagu itu kepada saya dan memberi izin untuk dijadikan single baharu.

“Saya masuk studio rakaman dengan komposer Taja untuk merakamkan lagu Aku Yang Sebenar, syukurlah apabila M. Nasir memberi komen positif,” katanya yang akan memuatkan lagu itu dalam album keduanya.

Lebih istimewa, selain Aku Yang Sebenar, M. Nasir turut berbesar hati untuk mencipta satu lagi lagu khusus buat suami kepada pemuzik Genervie Kam tersebut.

“Kami sudah ada perancangan untuk lagu kedua. Kali ini saya rasa lagu itu ditulis khas buat saya. Semuanya saya serahkan kepada M. Nasir untuk hasilkan lagu baharu itu nanti.

“Bukan senang artis nak dapat lagu daripada penyanyi berpengalaman seperti M. Nasir. Apabila peluang itu hadir, memang saya gunakan sebaik mungkin dan tak akan sia-siakan,” jelasnya.

Berkongsi mengenai pembikinan album yang sudah dua tahun tertangguh, kata Hazama, terlalu banyak pancaroba yang terpaksa lalui pada saat mahu menyudahkan album berkenaan.

“Sebanyak sembilan lagu akan dimuatkan dalam album itu nanti dan insya-Allah sasaran saya pada hujung tahun ini akan disiapkan sepenuhnya.

“Buat masa ini masih berbaki dua sahaja lagu yang masih belum dirakamkan.

“Misi saya awal tahun nanti mahu adakan sebuah persembahan istimewa untuk peminat yang tak pernah bosan menyokong karier saya selama lebih lima tahun,” katanya mengotakan janji. - Gambar NOOR AZLINA JAAFAR

Tubuhkan Paradox

USAI tugasnya di program Mentor Milenia selesai, Hazama dengan rakan baiknya, Akim Ahmad kini membangunkan syarikat rakaman Paradox Music sejak tiga bulan lalu.

Selepas beberapa peringkat perbincangan, mereka nekad untuk mengilap bakat baharu demi mewarnai lagi industri seni suara.

“Kami ada ilmu untuk cungkil bakat-bakat muda jadi inilah salah satu medium untuk saya cabar diri sendiri.

“Buat masa ini, kami menguruskan penyanyi baharu seperti Elica, Balqis, Abba dan Adam Malik.

“Saya nak gilap bakat mereka ini seperti saya berjaya gilap karier Usop. Walaupun dia tidak bernaung bawah label saya, kami masih lagi berhubungan,” katanya penuh azam.

Tak salah peristeri dia

Menyentuh sisi peribadinya, anak jati Kuala Lumpur itu berkali-kali mengungkapkan perkataan bertuah memiliki isteri dan keluarga mertua yang sangat memahami.

Bernikah dengan Genervie pada 15 Januari lalu, tanggungjawab sebagai suami banyak mengubah pemikirannya.

“Alam rumah tangga ini satu kebahagiaan yang mutlak. Lepas kahwin, diri saya automatik berubah.

“Berubah untuk lebih fokus terhadap tanggungjawab sebagai suami. Saya tidak tersalah pilih untuk memperisteri dia.

“Walaupun dia suka membebel tapi saya beruntung dan bertuah memiliki dia sebab sedikit sebanyak dapat mengubah saya,” katanya sambil ketawa.

Setahun sekali saja

SELAIN dianugerahkan dengan suara merdu, siapa sangka lelaki berusia 33 tahun itu turut memiliki bakat berlakon. Hazama pernah muncul di layar menerusi naskhah Apa Celop Toq, Lari, Hantu Nan Sempit dan Asam Pedas Pewitt.

“Saya tak nak terlalu fokus kepada lakonan dan pengacaraan buat masa sekarang. Bidang itu mungkin akan saya ceburi lebih mendalam kala usia menjangkau 40 tahun nanti.

“Tetapi saya pun tak naklah terlalu beri tumpuan kepada bidang seni suara saja. Saya nak jadi macam Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Sebab itulah kalau berlakon, saya hanya akan terima satu naskhah sahaja dalam setahun,” jelasnya.

Sengaja disogok dengan persoalan tentang watak yang sering diterima kebanyakannya komedi atau ‘pak lawak’, jelas Hazama dia sebenarnya tidak mahu ‘dicop’ seorang yang kelakar.

“Sebenarnya saya nak watak yang ‘ringan’ sahaja. Kalau boleh tak mahu komedi sebab saya tak nak orang fikir kalau saya ini seorang yang kelakar.

“Bagi sayalah secara peribadi, kelakar itu lebih kepada sifat. Drama Asam Pedas Pewitt yang sudah ditayangkan beberapa bulan lalu merupakan lakonan pertama dan terakhir saya bagi tahun ini,” ulasnya.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post