Zila Seeron Saya Akan Terus Istiqamah


Bertudung atau tidak? Itu yang menjadi persoalan peminat yang keliru dengan penampilan Zila Seeron apabila melihat adakalanya dia berhijab tetapi sesetengah foto yang dimuat naik di laman sosial pula sebaliknya.

Malah sewaktu saya memuat naik video artis ini tampil cantik berhijab ketika mengadakan persembahan dengan kumpulan Sevenation pada 18 Ogos lalu di Pentas Utusan, ada yang bertanya, “bukankah si Zila itu tidak bertudung?”

Namun pada 21 Ogos lalu, Zila memuat naik status seorang peminat yang menegur imejnya yang sekejap bertudung sekejap tidak itu, Zila atau nama sebenarnya Nur Azilah Seeron, 29, menulis, “Alhamdulillah dan masih ada yang sayang.”

Sehubungan itu, foto-foto diri yang tidak bertudung sudah dipadam dan digantikan dengan foto-foto berhijab. Akui Zila, sebagai manusia, dia bukanlah sempurna tetapi akan berusaha untuk menjadi yang terbaik.

Ini kerana sewaktu masih menjadi isteri kepada Along Cham, Zila tampil bertudung namun selepas bercerai pada 29 Ogos 2016, dia dilihat tidak menutup aurat. Biarpun soalan yang ditanya agak sensitif, sebagai artis yang sering menjadi perhatian ramai, Zila cuba menjawab soalan tersebut dengan hati terbuka.

“Memang tidak dinafikan sebelum ini saya tidak bertudung (selepas bercerai) tapi setelah difikirkan demi kebaikan diri, dengan itu saya memutuskan untuk berhijab kembali. Insya-Allah saya akan berhijab sampai bila-bila. Amin. Tolong doakan kebaikan untuk saya.

“Saya tahu ramai yang masih bercerita tentang saya apabila lihat kemunculan saya dengan Sevenation tempoh hari. Tapi sebagai manusia saya kena terima perkara yang berlaku. Memang agar sukar untuk saya melalui situasi apabila bersangkutan dengan orang ramai namun saya perlu tabah dan mengakui kesilapan sebelum ini.

“Bagi saya, tidak ada seorang manusia pun yang dapat lari daripada melakukan kesilapan. Saya reda dan bertawakal setiap masa,” katanya.

Zila bukan sahaja perlu tabah berhadapan dengan orang ramai malah dia juga perlu kuat kerana anak tunggalnya, Ahmad Danial, 6, kini dalam jagaan bekas suami.

“Biarpun anak bukan dalam jagaan saya tapi saya tahu dia dijaga dengan baik oleh keluarga bekas suami,” jelasnya.

Memandangkan dia kini hidup solo, ketika ditanya tidakkah terlintas di hatinya untuk mendirikan rumah tangga lagi, ini jawapan Zila.

“Buat masa sekarang, saya tidak mahu memikirkan soal mencari pasangan kerana mahu lebih fokus kepada mencari rezeki. Saya tak pernah serik untuk berkahwin lagi kerana soal jodoh ini adalah urusan Allah. Namun biarlah saya tumpu kepada usaha untuk menyara hidup dulu, barulah fikir soal lain,” katanya tanpa berselindung.

Mahu bina kerjaya semula

TAMPIL membuat persembahan dengan kumpulan Sevenation untuk segmen Busking Bersama Buskers yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Utusan Online tempoh hari juga sebenarnya turut memberikan kejutan buat peminat.

Masakan tidak, setelah sekian lama menyepikan diri, wanita ini mengakui sudah tiba masanya untuk bangkit dan membina semula namanya dalam bidang seni yang pernah ditinggalkan selepas mendirikan rumah tangga.

“Buat masa ini saya sedang bergiat membina reputasi sebagai seorang penyanyi dan mengharapkan agar kemunculan semula saya dalam industri ini diterima dengan baik oleh semua pihak, insya-Allah,” katanya.

Tambah Zila, sebagai permulaan dia memilih untuk bekerjasama dengan kumpulan Sevenation yang sudah lama dikenalinya.

“Syukur... anggota Sevenation sering mempelawa saya menyanyi bersama-sama kerana mereka adalah kumpulan pemuzik. Apabila menyanyi secara langsung memang seronok. Kami tidak ada masalah untuk bekerjasama kerana saya sudah lama mengenali mereka. Lagipun mereka adalah rakan-rakan saya semasa bersekolah menengah lagi.

“Kalau tidak ada halangan kemungkinan besar saya akan berkolaborasi dengan mereka. Saya memang ada perancangan untuk tampil dengan single baharu. Genre belum ditetapkan lagi kerana semua itu bergantung kepada komposer. Kalau dia kata suara saya sesuai untuk sesuatu genre itu maka rentak itulah yang akan saya dendangkan,” jelasnya.

Zila juga berkata, buat masa ini dia tidak terikat dengan sebarang syarikat rakaman atau pihak pengurusan. Namun dia ada mendapat beberapa lamaran tapi semua itu belum diputuskan lagi.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post