Jaclyn Victor lahir anak kedua 24 Ogos


Anak kedua Jaclyn Victor, Molly Marguerite Rivera.

Penyanyi, Jaclyn Victor, selamat melahirkan anak kedua yang diberi nama Molly Marguerite Rivera pada 24 Ogos lalu.

Bayi perempuan berkenaan dilahirkan menerusi pembedahan di Hospital Pantai, di sini.

Jaclyn atau Jac, 38, menyambut kelahiran cahaya mata keduanya itu lima hari lebih awal daripada jangkaan.

Penyanyi lagu Gemilang itu turut berkongsi berita gembira terbabit, hari ini, di laman Facebook dan Instagram miliknya.

"Anak kedua saya keluar lima hari lebih awal. Lebih istimewa, dia berkongsi tarikh lahir yang sama dengan abangnya, Jonah Joshiah Rivera," katanya.

Bercakap kepada BH Online sebentar tadi, Jaclyn turut memaklumkan, pengalaman kali kedua bersalin sesuatu yang cukup membahagiakan dirinya.

Selepas melahirkan zuriat keduanya, seperti ibu lain yang baru bersalin, juara program Malaysian Idol musim pertama itu turut menjalani proses berpantang.

"Saya dibantu seorang kakak yang datang mengurut, termasuk berlulur. Cuma kali ini saya tak sempat memakai bengkung seperti saat melahirkan anak pertama," katanya.

Begitupun, demi komitmen pada negara, malam tadi Jac sempat menjayakan acara penutup Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Bukit Jalil, bersama-sama ramai lagi bintang terkemuka tanah air.

Pada majlis penuh warna-warni berkenaan, Jac muncul beberapa kali di pentas, termasuk dengan Hafiz mengalunkan Aku Negaraku dan lagu penutup, Gemilang.

Jac berkahwin dengan Shawn Rivera, iaitu anggota kumpulan R&B Amerika Syarikat, Az Yet pada Julai 2014.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post