Selepas Smurfs: The Lost Village, Sony Pictures Animation tampil dengan The Emoji Movie (TEM) yang bakal menemui penonton esok.
Filem animasi 3D ini digarap Tony Leondis, sutradara yang terkenal dengan karya animasi Lilo & Stitch 2: Stitch Has a Glitch (2005), Igor (2008) dan Kung Fu Panda: Secrets of the Masters (2011).
Menariknya TEM, Tony cuba mewujudkan dunia khayalan emoji yang terdapat di dalam telefon pintar dan ‘mereka’ digambarkan mempunyai kehidupan yang bukan sekadar huruf bergambar.
TEM mengisahkan emoji bernama Gene yang tinggal di Textopolis atau lebih tepat di aplikasi SMS pada telefon pintar.
Gene adalah satu-satunya emoji dengan pelbagai ekspresi emosi yang setia bertugas di layar emoji untuk Alex.
Alex remaja pemilik telefon pintar. Panik ketika dipilih Alex untuk mengirim pesanan kepada seorang gadis, Gene tersalah menampilkan ekspresi.
Mujur Gene mempunyai keunikan apabila dia boleh menampilkan beragam jenis ekspresi yang tidak dipunyai emoji lain.
Bagaimanapun, kelebihan Gene itu tidak disenangi pemimpin layar emoji bernama Smiler yang cemburu dengan sifat multi fungsi Gene.
Oleh itu, Smiler berniat menghapuskan Gene sebelum Alex pergi ke pusat perkhidmatan telefon pintar untuk membaiki telefon pintarnya.
Gene kemudian melarikan diri dan bertemu emoji Hi-5 atau nama watak di dalam filem ini sebagai Tos yang disisihkan, sedangkan dulu ia dikenali sebagai emoji kegemaran ramai. Hi-5 menyarankan Gene keluar dari aplikasi SMS dan mencari Jailbreak supaya dirinya dapat diperbaiki.
Bermulalah pengembaraan Gene dan Hi-5 mencari Jailbreak menerusi aplikasi yang terdapat di dalam telefon pintar Alex.
Meskipun banyak kritikan kurang memuaskan, filem ini menyingkap satu ‘dunia’ yang tidak pernah terbayang dek akal.
Sebagai contoh, kewujudan Textopolis yang mempamerkan kesibukan rutin hidup warga emoji.
The Emoji Movie Trailer
Bintang komedi terkenal T J Miller meminjamkan suaranya untuk watak Gene. Manakala Smiler pula menggunakan suara Maya Rudolph.
Meskipun kemunculan Smiler hanya seketika, suaranya cukup mencuri perhatian. Aksi Smiler kekal tersenyum dengan barisan giginya yang cantik meskipun sedang marah cukup menggeletek hati.
Kehadiran Patrick Stewart yang mengisi suara emoji Poop dilihat kurang meninggalkan impak kerana dialognya terlalu sedikit.
Selain itu, Sofia Vergara, Steven Wright, Jennifer Coolidge dan James Corden turut meminjamkan suara mereka untuk filem ini.
Keseluruhannya naratif filem ini sedikit membosankan. Formula yang digunakan lebih kurang sama dengan Wreck-It Ralph (2012). Apa yang membezakannya adalah TEM mengisahkan dunia telefon pintar manalah Ralph membawa penonton mengembara ke dunia Arcade Games.
Mereka yang mahu meneroka kehidupan emoji dalam telefon pintar boleh meluangkan masa menonton filem berdurasi 86 minit ini.