Gerhana Skacinta masih berbisa


Lapan belas tahun dalam industri hiburan bukan tempoh singkat buat pelopor irama ska terkenal negara, Gerhana Skacinta.

Popular menerusi lagu Senyuman Ragamu dan Terpesona, Gerhana Skacinta pernah menyepi seketika bagi mencari idea segar dan akhirnya tampil dengan single terbaru berjudul Perusak Chenta.

Lebih daripada itu, mereka yang kekal dianggotai oleh Edy J selaku ketua dan pemain gitar, Widy (vokalis pertama), Pedd (vokalis kedua), Bakri (dram), Rejab (trombon), Fairuz (keyboard), Jalut (bass) turut dimantapkan dengan kemasukan anggota baru direkrut pada tahun lalu iaitu Farin (saksofon).

Sebaik sukses dengan lagu Perusak Chenta, Gerhana Skacinta tanpa menunggu lama bakal mengeluarkan single terbaru terjudul Rindu dirakamkan di B’sync Live dan akan dimainkan di radio dalam masa terdekat.

Edy J berkata, Gerhana Skacinta beruntung mempunyai kelompok peminat yang sentiasa menyokong.

“Mereka bagaikan rindu untuk menyaksikan kelibat kami di atas pentas. Kami baru selesai menjayakan persembahan di The Bee Publika pada Mei lalu dan sambutan yang diberikan sangat hebat.

“Ia membuktikan identiti kami yang tampil dengan irama ska cara Malaysia dan ada pengaruh muzik Allahyarham Tan Sri P Ramlee serta lagu klasik Melayu boleh diterima ramai,” katanya.

Kejayaan persembahan ini turut membuka ruang kepada Gerhana Skacinta untuk meluaskan pengaruh di luar negara.

Buat julung kalinya, mereka akan mengadakan persembahan eksklusif di Esplanade Singapura pada 8 September 2017.

“Ia satu penghormatan buat Gerhana Skacinta kerana sebelum ini kami banyak terbabit sebagai penyanyi jemputan di festival muzik antaranya Anugerah Planet Muzik, Mosaic Music Festival, Reggae Beach Festival.

“Kami sangat teruja kerana peminat Singapura setia menyokong dan sudah tentu akan memberikan persembahan terbaik nanti,” kata Edy J.

Mengharapkan sambutan di sana lebih hebat, Edy J menganggap persembahan itu satu keraian sempena ulang tahun Gerhana Skacinta yang ke-18.

“Tiket untuk persembahan eksklusif ini boleh didapati di sistic.com dan kami berharap peminat di Singapura segera mendapatkannya.

“Untuk peminat tempatan pula, Gerhana Skacinta akan membuat persembahan pada 7 dan 8 Oktober ini di Miri, Sarawak sempena Miri Rocktoborneofest (Miri International Rock Festival),” kata Edy J lagi.

Tampil gaya unik

Selain kekuatan lagu, Gerhana Skacinta mengetengahkan identiti unik apabila anggota lelaki tampil di atas pentas memakai suit penuh manakala dua anggota wanita akan bergaya dengan kebaya.

Mengulas perkara ini, Edy J berkata, mereka mahu mencipta kelainan agar diingati oleh peminat.

“Seperti dijelaskan, kami ingin menonjolkan konsep ska cara Malaysia dengan pengaruh P Ramlee dan lagu klasik Melayu.

“Jadi apa yang peminat lihat inilah yang kami maksudkan. Kami beruntung kerana mendapat tajaan kasut dari Dr Martens Malaysia, manakala kebaya pula tajaan Kesuma Kebaya,” katanya.

Hubungan rapat umpama adik-beradik dan minat mendalam terhadap jenis muzik yang sama antara faktor kumpulan itu bertahan lama.

Selain nyanyian, mereka turut menjana ekonomi dengan mengeluarkan cenderahati yang boleh didapati di Instagram gerhana_merch.

Peminat boleh mengikuti perkembangan mereka di Instagram Gerhana_Skacinta dan Facebook Gerhana Skacinta.

Post a Comment

Previous Post Next Post