Syuhada Md Amin sedia teroka bidang lain


Walaupun karier nyanyian menjadi keutamaan, Syuhada Md Amin bersedia untuk mencuba bidang seni yang lain.

Bahkan, penyanyi yang mencipta nama menerusi lagu Bukan Dia ini beranggapan industri seni hiburan sangat luas untuk diterokai.

“Saya mula menceburi bidang seni sejak berusia 12 tahun. Selain menyanyi, saya juga pernah berlakon dan mengacara.


“Tapi, peluang saya dalam bidang nyanyian lebih terkedepan selepas dinobatkan juara dalam program realiti Idola Kecil.

“Nampaknya saya belum berpeluang mempamerkan bakat dalam bidang lain lebih-lebih lagi apabila usia menginjak remaja ini,” katanya pada Media Hiburan.

Serius membina karier nyanyiannya, selebriti berusia 21 tahun ini tampil dengan single terbaru, Tak Kena, sejak Ramadan lalu.

Pun begitu, entah di mana silapnya, ramai peminat kurang mengetahui akan kehadiran single terbaru ciptaan sepenuhnya DJ Fuzz itu.

“Lagu itu masih mengekalkan mengekalkan genre pop reggae seperti single Bukan Dia dan dah dimuat naik di YouTube.

“Saya sedar, saya harus gandakan usaha untuk melakukan promosi. Lagipun, jarak masa yang diambil untuk menghasilkan Tak Kena agak lama selepas Bukan Dia,” katanya.

Mengakui bimbang dengan penerimaan peminat, Syuhada bagaimanapun sentiasa percaya pada rezeki.

“Kadang-kadang, saya terfikir mungkinkah peminat lupa dan beranggapan saya kembali menyepi?

“Saya sedar bukan mudah untuk kekalkan nama dalam industri. Lagi pula, penyanyi baru semakin ramai muncul dan bersilih ganti,” katanya.

Tambahan pula, sebelum ini, Syuhada terpaksa memperlahankan kerjaya seni bagi menumpukan perhatian terhadap pelajaran.

Pada masa sama, pemilik nama sebenar Wan Syuhada Md Amin ini menolak untuk lebih dikenali bersandarkan cerita sensasi mahupun gosip.

“Saya akan gigih berusaha sehingga berjaya kerana ia cara lebih baik dan tulus. Umpama pepatah, biar lambat asal selamat.

“Saya bersyukur kerana tak terkena tempias gosip mahupun cerita sensasi. Saya nekad memberi fokus pada nyanyian kerana kerjaya saya masih belum stabil.

“Jadi, saya tahu banyak perkara perlu diambil kira untuk membina kejayaan,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post