Syamsul Yusof hingga membangkitkan perasaan kurang senang segelintir pihak.
“Saya tidak mahu komen panjang kerana ramai yang tidak tahu apa yang berlaku dalam industri filem. Mungkin nampak okey, namun menyedihkan.
“Ada sesetengah golongan yang mewujudkan jurang antara filem komersial dan filem berat (seni). Saya penggiat filem komersial, namun tetap menghormati filem seni.
“Ia bukan bermakna filem komersial teruk kerana seni itu subjektif. Bagus atau tidak sesuatu filem bukan kerana ia filem seni ataupun komersial,” getusnya kepada Sensasi Bintang.
Pada masa sama, Syamsul juga mempertahankan tindakannya memuat naik status berkenaan kendatipun ramai yang menyifatkannya bersikap kebudak-budakan.
“Jangan cerita dengan saya mengenai kebebasan bersuara. Apakah kebaikan untuk bertindak mengkritik sesuatu filem secara terbuka kerana ada cara yang lebih berhemah, itu maksud saya.
“Selama ini saya diam dan hanya fokus kerja sendiri, namun tetap memerhatikan industri. Saya turut berkongsi sedih apabila sesuatu filem orang lain gagal, cuma tidak faham kenapa ada yang marah dengan kejayaan filem saya.
Nama pengarah ini tiba-tiba hangat apabila memuat naik status yang tidak menyenangkan sesetengah pihak di laman Twitternya selepas menjulang trofi Pengarah Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-57 baru-baru ini.
“Saya bukan malaikat walaupun cara saya agak kasar. Orang komen cara berhemah, saya jawab secara berhemah. Cuma apabila orang buat cara sampah, saya balas dengan cara yang sama,” tegasnya.
Ungkap Syamsul, sutradara berkaliber seperti Datin Paduka Shuhaimi Baba, Mamat Khalid dan Allahyarham Yasmin Ahmad semuanya hebat-hebat, namun mereka tidak menghakimi dengan membuat kenyataan yang memecah-belahkan seperti itu.
“Saya faham perasaan mereka, jadi saya tidak perlu membalas dengan kata-kata. Cukuplah dengan rezeki yang saya dapat ini dan bersyukur dengan perkara itu,” jelasnya lagi.
Syamsul memberitahu, dia tidak terkesan biarpun ada yang beranggapan hasil kerjanya tidak layak untuk dinobatkan dalam mana-mana anugerah.
“Jika dapat anugerah, alhamdulillah. Saya bukannya buat filem berkiblatkan perkara itu. Orang boleh cakap apa saja namun tidak faham apa yang berlaku.
“Seandainya tiada orang lain yang bercakap, saya terpaksa bertindak kerana golongan berkenaan perlu diajar dengan cara sebegitu.
“Bukan apa, perlu sentiasa ada rasa hormat terhadap semua orang bukan saja filem-filem saya, malahan untuk filem-filem lain,” ungkapnya seraya menoktah bicara.