Sufie Rashid kesal isu liwat dimanipulasi


Penyanyi Singapura, Sufie Rashid, 26, menafikan dia sengaja mengungkit kembali isu diliwat bekas bapa tirinya Muhammad Arif Dollah, 32, dengan tujuan mahu mencari publisiti.

Terdahulu, Arif menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman sosial mendakwa Sufie tidak seharusnya membangkitkan perkara itu lagi kerana pihak berkuasa Singapura sendiri sudah menutup kes terbabit.

Sufie ketika ditemui berkata, isu itu dipaparkan dalam satu program dokumentari mengenai dirinya yang ditayangkan di stesen TV di Singapura, baru-baru ini.

“Dokumentari itu mempunyai segmen suka dan duka yang saya lalui dan antara yang dicerita termasuklah isu liwat itu,” katanya.

Sufie turut mendakwa perkara itu dimanipulasi pihak tertentu dengan tujuan untuk memburukkan dirinya.

“Dokumentari itu agak panjang sebenarnya. Apa yang menghairankan saya ialah apabila ada pihak tidak bertanggungjawab menyuntingnya dan hanya mengambil rakaman membabitkan isu liwat sahaja sebelum memuat naik ke media sosial,” kata penyanyi yang popular dengan lagu Aku Sanggup ini.

Sufie berkata, tidak mungkin dia sengaja mahu meraih publisiti dengan memperdagangkan isu yang boleh memburukkan namanya.

“Buat apa saya mahu menjaja cerita buruk seperti itu di saat kerjaya seni saya sedang berkembang baik di sini dan Singapura?

“Fikirlah secara logik, tidak mungkin saya mahu membunuh kerjaya seni sendiri dengan isu lapuk,” katanya.

Beberapa tahun lalu, Sufie pernah mengeluarkan kenyataan media mendakwa dirinya menjadi mangsa gangguan seksual Arif ketika berusia 13 tahun.

Post a Comment

Previous Post Next Post