Sakitnya jari Chacha Maembong dihiris kaca


Pelakon Chacha Maembong, 21, mengalami cedera ringan membabitkan tiga jari tangan kanan akibat terkena kaca pintu balkoni yang pecah di rumahnya.

Kejadian kemalangan kecil yang didakwa berlaku pagi semalam itu, berpunca selepas pintu kaca balkoni rumahnya tiba-tiba ditolak angin kencang.

Chacha atau Siti Aisyah Ismail berkata, melihat pada angin kencang yang muncul tidak diduga itu menyebabkan dia terus bertindak spontan untuk cuba menghalang pintu kaca balkoni daripada jatuh dan pecah.

"Namun, lain pula jadinya apabila saya sendiri yang mengalami kecederaan ringan di jari akibat terkena serpihan kaca yang pecah itu.

"Saya terus dibawa kakak, abang dan teman lelaki ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

"Selepas doktor selesai membersihkan tempat luka itu, barulah saya sedar kecederaan dialami agak dalam.

"Doktor memberitahu luka pada tiga jari tangan kanan saya perlu mendapatkan rawatan di hospital untuk pembedahan kecil.

"Bagaimanapun, saya yang agak takut dengan pembedahan meminta supaya doktor hanya menjahit pada tempat luka berkenaan saja," katanya.

Chacha berkata, rawatan menjahit luka di jarinya dibuat di hospital swasta di ibu kota, petang semalam.

Umpama pepatah malang tidak berbau, Chacha akur dengan ujian kecil yang menimpa dirinya dengan hati terbuka.

Adik pelakon Emma Maembong ini anggap kejadian kemalangan itu memberi dia peringatan supaya lebih berhati-hati walau pun berada di rumah.

Chacha yang pernah membintangi drama Kahwin Muda di TV3 akan muncul dengan filem I'm Not A Terrorist di pawagam pada 5 Oktober ini.

Filem aksi arahan Arjin Uppal itu menggandingkan Chacha, Afiq Muiz dan Khir Mohd Noor bersama pelakon Bollywood seperti Gulshan Grover, Farida Jalal dan Rahul Dev.

Post a Comment

Previous Post Next Post