Pelakon kecil molek, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas belum terfikir untuk mendirikan rumahtangga walaupun usianya menjangkau 25 tahun.
Ruhainies mula dikenali selepas membintangi drama Hello! Mr Perfect berkata, tuntutan tanggungjawab pada keluarga membuatkan dia ingin menumpukan perhatian pada kerjaya.
"Bukannya tidak mahu kahwin tapi buat masa ini masih belum terfikir ke arah itu. Saya ingin memenuhi 'wishlist' terlebih dahulu sebelum berumahtangga.
"Sejak kecil lagi, saya selalu berangan-angan apabila sudah bekerja, saya ingin membahagiakan orang tua terlebih dulu. Mahu belikan rumah yang lebih selesa dan menghantar mereka menjalankan ibadah umrah dan haji serta membawa mereka melancong.
"Alhmdulillah, ada beberapa perkara yang sudah saya penuhi. Sebagai contoh, saya dan adik-beradik lain, dengan izin Allah, dapat menghantar ibu bapa menunaikan haji," katanya.
Mempunyai hubungan rapat dengan ibu bapa dan adik beradik, Ruhainies sendiri tidak dapat membayangkan dirinya apabila bergelar isteri.
Katanya, dia mungkin akan melakukan hal yang sama seperti kakaknya iaitu tinggal berdekatan dengan rumah kedua ibu bapa.
"Walaupun sudah bekerja sendiri dan banyak penggambaran dijalankan sekitar ibu kota tetapi saya masih tinggal di rumah orang tua kerana tidak boleh berjauhan.
"Saya rasa kalau saya sudah berkahwin sekali pun, saya akan tinggal di rumah yang dekat dengan ibu bapa. Ikatan kekeluargaan kami sangat rapat. Tengok sajalah kakak saya, hampir setiap hari dia datang ke rumah," katanya.