Pelakon Rita Rudaini tidak pernah menghalang anak sulungnya untuk bergiat aktif dalam sukan bola sepak sebagaimana anggapan segelintir pihak ekoran kisah perceraiannya dengan bintang bola sepak Aidil Zafuan Abd Razak.
Rita ketika dihubungi berkata, dia tidak pernah menghalang Airit Rayyan Rizqin, 8, yang terpilih untuk mewakili pasukan bola sepak sekolahnya, cuma sebelum ini dia tidak diberi peluang.
"Apabila gurunya di sekolah meminta kebenaran untuk Rayyan terbabit dalam pasukan bola sepak sekolah, saya tidak keberatan asalkan dia berminat.
"Saya pun bertanya kepada Rayyan dan dia berminat. Jadi buat apa saya nak halang," katanya.
Rita berkata, dia turut mendapatkan khidmat jurulatih peribadi untuk anaknya.
"Saya tidak perlu bersusah payah cari jurulatih peribadi sekiranya bekas suami ada. Sedikit sebanyak dia boleh membantu menyediakan kelengkapan sukan dan melatih Rayyan tetapi sekarang saya kena buat sendiri dan bertanya kepada orang lain.
Menurut Rita, pertama kali melihat Rayyan bermain bola sepak, dia ketawa besar kerana anaknya itu tidak biasa dengan sukan di padang.
"Saya tergelak apabila melihat keadaannya yang tidak selesa dengan aktiviti di padang. Dia tidak selesa apabila pakaiannya kotor dan berpeluh.
"Jika sebelum ini minatnya lebih ke arah sukan catur atau bermain pemainan Lego, tetapi kini saya beritahu dia perlu membiasakan diri dengan bola sepak," katanya.