Pelakon dan pengacara Qi Razali mengakui bercinta dengan wanita berusia 21 tahun bernama Nia Atasha Rosli.
Qi berkata, dia berkawan rapat dengan pereka grafik ilustrasi sambilan itu sejak enam bulan lalu.
"Saya tertarik untuk mengenali dia kerana sikapnya yang selamba dan berjiwa seni.
"Lagipun kami selalu bekerjasama kerana dia pandai melukis,” katanya.
Qi berkata dia mengenali wanita kelahiran Kuala Lumpur itu di sebuah acara di Ipoh, Perak awal tahun ini.
"Ketika itu saya langsung tidak menegurnya meskipun dia menjadi sukarelawan dalam acara yang saya anjurkan.
"Selepas pulang ke Kuala Lumpur, saya mengikuti perkembangannya di Instagram dan Instagram peribadinya dan mula berkenalan.
"Bukan mudah untuk mengajaknya keluar makan. Selepas beberapa kali mencuba, barulah dia sudi keluar makan bersama saya di sebuah restoran popular di Ampang,” katanya.
Qi yang pernah bercinta dengan pelakon Nelydia Senrose bagaimanapun mengambil pendekatan untuk tidak terlalu terbuka menceritakan hubungannya dengan buah hati baru.
"Kalau ada yang bertanya, saya akan cakap. Namun untuk bercerita sendiri kepada umum, rasanya tidak.
“Kali ini saya lebih selesa bersikap ‘low profile’,” katanya.