Jika mempunyai vokal yang mantap, apa salahnya bagi seorang pelakon mencuba bidang nyanyian. Lagipun, industri seni tidak pernah meletakkan batasan terhadap individu untuk terhad pada satu lapangan khusus sahaja.
Begitu juga perihalnya dengan pelakon Reen Rahim, 29, yang bakal melibatkan diri dalam dunia nyanyian walaupun dia tidak pernah merancang untuk meletakkan diri satu pentas dengan penyanyi popular lain.
“Sebenarnya saya tidak pernah merancang untuk menjadikan diri saya sebagai seorang penyanyi. Semuanya gara-gara pihak pengurusan yang percaya dengan bakat nyanyian saya.
“Kalau nak kata pengalaman menyanyi secara langsung di hadapan khalayak ramai itu memang tidak ada. Kalau setakat menyanyi di karaoke secara santai memang ada dan saya memang suka menyanyi.
“Mungkin dari situ pihak pengurusan melihat kemampuan vokal dan bercadang untuk memperkenal saya ke dalam dunia nyanyian pula,” katanya tertawa bercerita tentang pelan perancangan itu.
Tambah Reen, belum ada sebarang perancangan formal untuk melangkah ke industri seni suara tetapi pihak pengurusan sudah mengaturnya.
Bergelar seorang penyanyi bukan mudah apatah lagi untuknya yang hanya menyanyi sebagai mengisi masa lapang dan untuk berseronok sahaja.
“Hendak menyanyi bukan sekadar memerlukan suara yang merdu tetapi juga perlukan teknik-teknik yang betul. Semua perkara itu harus dipelajari untuk mendapat hasil yang terbaik.
“Saya percaya setiap hari adalah sesi pembelajaran buat manusia dan kita tidak seharusnya menyekat diri untuk tidak mempelajari sesuatu yang baharu dalam kehidupan,” katanya.
Namun dia meletakkan perancangan itu kepada pihak pengurusannya untuk memikir yang terbaik bagi kerjaya seninya walaupun dia sendiri masih lagi gemuruh untuk bergelar seorang penyanyi.
Selain penglibatan dalam bidang nyanyian, Reen juga akan memperkenal jenama minyak wanginya sendiri dan hal itu masih lagi pada peringkat perbincangan dengan pihak pengurusannya.
“Dunia perniagaan adalah satu lagi bidang yang akan saya ceburi. Bagi saya, bila peluang itu ada, saya akan guna sebaik mungkin untuk mendapatkan sesuatu yang positif bagi diri dan kerjaya saya,” jelasnya. - Gambar FARIZWAN HASBULLAH
Tekanan bawa watak matang
Terlibat dengan penggambaran drama Mr. Delicious yang bakal ditayangkan di saluran Hypp TV, Reen Rahim mengakui dia agak tertekan hingga menjadi murung kerana gagal membawakan watak Fina dalam cerita itu dengan baik.
Watak yang dibawakannya adalah seorang wanita yang matang dan menurut Reen, personaliti Fina itu sendiri adalah sangat jauh berbeza dengan peribadi dirinya yang sentiasa ceria dan muda.
“Watak Fina ini agak berat sebenarnya sebab dia seorang wanita yang matang dan lebih berusia berbanding dengan umur saya sekarang. Itu yang beri saya tekanan kerana saya sukar nak membawakan watak ini.
“Apabila saya gagal mendalami watak ini, bermakna saya gagal berlakon dengan baik dan rasa bersalah itu menghantui diri saya sehingga mengganggu emosi saya,” jelasnya.
Menurut Reen, dek gagal membawakan watak ini dengan baik membuatkan dia jadi pendiam dan tidak banyak bercakap walaupun sudah berada di luar set penggambaran.
“Perkara itu terjadi pada awal-awal penggambaran sebab saya belum kenal sepenuhnya dengan watak Fina. Sekarang, Alhamdulillah saya sudah berjaya membawa jiwa Fina itu ke dalam lakonan saya,” jelasnya.
Ini adalah kali pertama Reen membawakan watak yang matang dan lebih berusia daripada dirinya. Dia sendiri menganggap itu sebagai cabaran baharu buatnya dalam kerjaya seni sebagai pelakon.
Tambah Reen lagi, dia juga tidak menerima sebarang tawaran lain untuk berlakon bagi memberi fokus sepenuhnya kepada penggambaran drama tersebut yang mengambil masa selama tiga bulan.
“Saya memang begini. Kalau terlibat dengan drama atau filem, saya akan beri fokus penuh dengan perkara yang dilakukan sebab tidak mahu mengganggu waktu kerja dan jiwa bagi watak yang dilakonkan,” jelasnya.