Izreen Azminda rela berkongsi kasih


Entah berapa kali pertanyaan jodoh dan perkahwinan dijawab. Mungkin rasa bosan sudah mula melingkari jiwa namun tidak pernah sekali raut wajah pelakon, Izreen Azminda berubah.

Dia tidak pernah cuba mengelak. Ayat disusun satu persatu supaya tidak mengguris hati sesiapa. Sama ada panas atau tidak soalan itu, dia tenang melontar jawapan.

Berbicara soal cinta, dia akui hatinya masih kosong tanpa kehadiran lelaki. Kadangkala, ada perasaan rindu untuk kembali berkasih datang mengetuk pintu hatinya.

Tidak mahu mendustai perasaan sendiri, keinginan untuk berumah tangga tetap dirasai. Cuma bagi ibu kepada seorang anak ini, masa yang sesuai belum lagi tiba sementelah kesibukan kerja membataskan hasrat.

“Memang teringin hendak kahwin lagi tapi bayang rupa lelaki pilihan masih belum nampak. Lagipun, sekarang bukan masa sesuai. Biarlah saya hidup begini dahulu, lebih selesa.

“Kalau bercinta nanti banyak pula komitmen. Sekarang ini pun saya terkejar-kejar. Masakan tidak, dengan kerjaya sebagai anak seni, duta produk dan keluarga, saya terlalu sibuk.

“Nak cari lelaki yang boleh terima saya seadanya pun susah. Ada yang cuma mahukan saya tapi bukan anak. Jadi buat apa saya teruskan hubungan begitu. Kalau nak saya, kena terima anak,” katanya yang bakal memulakan penggambaran drama baharu tidak lama lagi.

Dicuit manja dengan soalan adakah dia menolak untuk bercinta dengan lelaki berstatus suami orang, hampir beberapa saat Izreen menarik nafas. Dia tidak mahu terburu-buru dalam menjawab soalan bahaya itu.

Tidak mahu termakan kata-kata sendiri, pelakon yang popular dengan drama Eksperimen Cinta ini tidak menolak sama sekali sekiranya jodohnya hadir begitu.

Malah pelakon yang juga pelawak ini rela bermadu dan berkongsi kasih. Cuma syaratnya mudah, lelaki tersebut haruslah berkemampuan selari dengan syarat yang dituntut oleh agama.

“Saya tak mahu cakap lebih-lebih sebab kalau Tuhan sudah tetapkan jodoh itu nak buat macam mana, kan?

“Siapa pun jodoh saya, suami orang atau tidak, saya tidak kisah asalkan dia berkemampuan dan boleh menerima saya serta anak.

“Penerimaan wanita mungkin berbeza tetapi kita semua sedia maklum lelaki boleh kahwin empat. Kalau sudah itu takdir jodoh yang tertulis, saya terima.

“Tak mahu cakap tolak (suami orang), nanti kena balik ke batang hidung saya,” kata anak kelahiran Perlis ini.

Menolak untuk bercinta sesama rakan industri, bukan serik menjadi alasan Izreen. Dia seboleh-bolehnya mahu mencari lelaki yang mampu memberi masa sepenuhnya untuk dia dan keluarga.

“Saya tak boleh kalau suami tidak ada depan mata. Sebab itu kalau boleh saya nak cari lelaki yang kerja luar daripada bidang seni. Sekurang-kurangnya, dia ada di rumah kalau saya kerja malam,” katanya.

Tak mahu main ‘rembat’ naskhah

Hampir 12 tahun mengemudi bahtera seni, Izreen Azminda mengakui dia harus bijak mengatur pelayaran seninya. Tidak mahu menerima tawaran sesuka hati, dia harus menjaga ‘status’nya sendiri.

Bukan mahu tampil lebih eksklusif atau mula bersikap demand, pelakon ini mahu tampil dengan karya yang mampu memahat satu kepuasan kepada peminat. Dia tidak mahu main ‘rembat’ sahaja setiap tawaran.

“Saya sudah bawa pelbagai karakter. Baik pelawak, jahat, sedih dan macam-macam lagi. Sekarang, saya mahu mula memilih karya. Bukan eksklusif atau demand, cuma saya perlu jaga kedudukan sebagai pelakon.

“Usia dan masa kami sekarang sedikit membataskan. Pelakon baharu juga sekarang semakin ramai. Jadi saya perlu ada strategi untuk kekal dalam industri. Bakat jadi taruhan.

“Saya mahu karya yang boleh buat orang ingat dengan lakonan. Tak kisah mana-mana stesen televisyen sekali pun, asalkan skrip bagus,” katanya yang kini bergelar duta kepada produk penjagaan kebersihan wanita, Poora.

Mahu memberi lebih masa kepada anaknya, Muhammad Adrian Umar yang kini berusia empat tahun, Izreen juga menolak sekiranya sesi penggambaran mengambil masa yang terlalu lama.

“Saya mahu lihat Adrian membesar di depan mata. Cukuplah semasa dia kecil dahulu saya sibuk bekerja sampai tak sempat melihat dia belajar berjalan, merangkak,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post