Ella bakal muncul di pentas DFP pada Disember depan.
Kalendar konsert Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) kini memasuki edisi terbaharu dengan senaraikan persembahan hebat menampilkan variasi genre muzik oleh artis terkemuka.
Selain persembahan simfoni kesembilan Beethoven bertemakan The Mighty Ninth pada 12 dan 13 Ogos lalu, edisi ke-20 kali ini menjanjikan kemunculan Ratu Rock negara, Ella dengan dua konsert bersama MPO pada 2 dan 3 Disember depan.
Lebih mengujakan, penyanyi yang terkenal dengan Sepi Sekuntum Mawar Merah itu akan menyertai senarai bintang legenda tanah air yang pernah berpadu dengan MPO sebelum ini termasuklah Datuk Sheila Majid, Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Jamal Abdillah.
Bagaimanapun, ini bukanlah kemunculan pertama Ella di pentas prestij DFP, sebaliknya pernah terlibat sebagai artis undangan untuk konsert MPO Rocks pada tahun 2013 bersama Mus May dan gitaris terkenal, Man Kidal.
Bezanya kali ini, Ella dijadualkan menguasai pentasnya dengan persembahan lagu-lagu popular malar segar dalam bentuk simfoni bersama MPO bawah pimpinan Ahmad Muriz Che Rose.
Menjelang Disember juga, pemain piano kelahiran Malaysia yang kini menetap di New York, Tengku Irfan akan memimpin orkestra buat pertama kali di Malaysia.
Sebagai kelainan, tahun ini panggung DFP bakal bertukar menjadi pawagam dalam suasana sinematik yang unggul apabila menayangkan antara filem tempatan terlaris keluaran 2016, Ola Bola.
Lengkap dengan iringan muzik skor oleh MPO, tayangan istimewa pada 15 dan 16 September depan itu bakal terlaksana dengan kerjasama Astro.
MPO juga bakal meraikan 100 tahun pemergian komposer Leonard Bernstein dengan konsert bertemakan The Best of Bernstein’s Broadway dan Bernstein At 100 yang menampilkan karya-karya malar segar daripada muzikal terkenal.
Dijadualkan pada Januari depan, muzik ekstravaganza tersebut akan menampilkan penyanyi soprano Morgan James, konduktor Teddy Abrams dan Eiji Oue serta pemain piano Conrad Tao.
Banyak lagi persembahan yang tidak pernah disaksikan selama ini bakal menghiasi kalendar konsert MPO sepanjang Ogos sehingga Februari tahun depan.
Antaranya termasuklah konsert sulung MPO bersama artis-artis klasikal terkenal seperti pemain biola Baiba Skride dan Renaud Capucon, penyanyi soprano Tatiana Pavlovskaya serta penyanyi tenor Carlos Silva dan Pavel Cernoch.
Pemain piano terkenal dari Perancis, Jean-Yves Thibaudet dan pemain piano tempatan seperti Bobby Chen dan Mei Yi Foo juga kembali mempesonakan peminat muzik piano pada musim kali ini.
Penyanyi R&B Indonesia terkenal, Marcell akan membuai perasaan peminat dalam sebuah konsert romantis pada Februari nanti.
Penjualan tiket-tiket konsert MPO di DFP telah berlangsung sejak 8 Julai lalu.
Layari www.mpo.com.my atau hubungi talian 03-2331 7007 untuk maklumat lanjut.