Lebih setahun melayari bahtera perkahwinan, Ezzaty dan Azwan bahagia dengan kehidupan sebagai suami isteri terutama bakal mengijak status baharu sebagai ibu bapa.
Menjadi impian besar wanita yang sudah bergelar isteri untuk melayari bahtera kehidupan dengan status baharu sebagai seorang ibu. Itu yang sedang dialami oleh pelakon Ezzaty Abdullah, 27.
Sejak bernikah dengan suami yang juga merupakan seorang pelaku seni, Azwan Kombos Julai tahun lalu, kehidupannya berubah. Banyak perkara baharu yang dipelajari dalam menjadikan rumah tangganya sebuah perkahwinan yang baik. Malah, di celah-celah dia belajar menguruskan rumah tangga, khabar berita datang menyapa. Dirinya hamil anak sulung hasil buah cintanya bersama Azwan. Kini usia kandungannya mencecah enam bulan, wanita kelahiran Bentong, Pahang itu bersyukur dengan segala limpah kurnia Ilahi.
Kata Ezzaty, dia sedang menikmati fasa terus kekal menjadi seorang isteri kepada seorang ibu. Dijangka bersalin dalam bulan Disember tahun ini, Ezzaty yang mula dikenali menerusi drama bersiri Autumn Di Hatiku itu teruja menanti kehadiran bayi sulungnya.
“Belum tahu jantina lagi. Tempoh hari saya dan suami sudah melakukan imbasan ultrasound namun bayi masih ‘malu-malu’ lagi. Saya memang ingin tahu jantina bayi supaya senang untuk berbelanja pakaiannya nanti,” ujarnya penuh teruja.
Ditanya bagaimana rasanya menjadi seorang individu yang membawa satu nyawa baharu di dalam perutnya, akui Ezzaty ia adalah pengalaman yang sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata.
Sementelah, pada fasa kini, dia boleh rasakan bayi di dalam kandungannya bergerak-gerak.
“Bayi dalam kandungan sudah pandai menendang. Lucunya apabila Azwan ada dengan saya untuk menyaksikan dia bergerak atau menendang, ia langsung tidak berlaku. Kalau tiada Azwan, aktif semacam,” ujar Ezzaty seraya tertawa.
Ditanya persoalan sama ada dia mengalami sebarang alahan setakat ini, ungkap Ezzaty, perkara itu tidak berlaku terhadapnya, sebaliknya ia berpindah kepada suami.
“Masa mula-mula saya mengalami muntah-muntah. Itu normal. Selepas itu, Azwan yang menjadi mangsa sehinggakan di set penggambaran pun dia muntah-muntah. Bagaimanapun, tiada perkara-perkara pelik berlaku kepada saya seperti teringin makan sabun,” jelasnya.
Mengulas tentang rencana dirinya selepas bersalin nanti, Ezzaty akan berehat panjang dan menuruti tradisi keluarganya iaitu berpantang selama 100 hari.
“Sekarang saya sudah tidak berlakon lagi. Saya ingin berehat panjang dan memberi fokus kepada anak apabila sudah lahir nanti. Apa yang penting, saya akan berpantang selama 100 hari seperti disarankan ibu dan nenek saya.
“Berpantang adalah perkara yang amat penting bagi ibu yang baru bersalin. Saya perasan ada segelintir wanita yang mengambil remeh soal itu. Ibu saya akan menjaga saya sepanjang proses berpantang nanti kerana dia sudah bersara,” ujarnya yang dijangka bakal melahirkan anak sulungnya itu di Hospital Pusrawi, Kota Damansara.
Bunuh diri
Dalam pada itu, diajak berbicara tentang wataknya sebagai Alya dalam filem Kau Takdirku, Ezzaty berasa lega kerana dapat meletakkan titik noktah yang sempurna untuk naskhah arahan Jason Chong itu. Berganding dengan dua aktor hebat, Remy Ishak dan Bront Palarae lagi menyemarakkan rasa kerisauan untuk memberikan yang terbaik.
“Sejujurnya, ketika penggambaran filem ini dilakukan, saya amat tertekan kerana takut kalau tidak dapat memberikan apa yang diinginkan oleh pengarah. Banyak kali saya menangis di luar set penggambaran kerana gagal mencapai piawaian dalam lakonan.
“Tambah lagi, ketika itu saya juga tertekan dengan masalah putus tunang sehingga pernah terdetik untuk membunuh diri,” terangnya yang sempat mengambil kelas lakonan dengan aktres berpengalaman, Fauziah Nawi sebelum turun ke set penggambaran.
Katanya lagi, mujur ada keluarga yang benar-benar memahami keadaan dirinya ketika itu dan dia mula mendekatkan diri dengan Tuhan sejak perkara itu berlaku dalam hidupnya.
“Selepas 44 hari menjalani penggambaran, saya duduk dengan ibu selama sebulan. Selama sebulan saya tidak terbabit dengan sebarang projek lakonan. Dalam tempoh itu juga saya banyak muhasabah diri dan nekad untuk menjadi insan yang lebih baik,” ungkap Ezzaty.
Mengakui dirinya sedikit naif tentang agama pada ketika itu, wanita yang memulakan kerjaya sebagai pelakon sekitar tahun 2012 itu bagaimanapun menyesali kejadian tersebut walaupun ia hanya singgah di benak fikirannya.
“Walaupun hanya terdetik di fikiran sahaja, saya kecewa dengan diri saya mengapa hal itu boleh timbul. Selepas kejadian itu, saya semakin mencuba untuk belajar tentang agama. Alhamdulillah, saya menjaga solat dengan cukup baik sehingga hari ini selepas ujian itu didatangkan,” tuturnya menggulung bicara.