Alvin Chong dikritik kerana watak mualaf


Alvin Chong dan Emma Maembong bergandingan menerusi drama Awak Suka Saya Tak? yang bakal bersiaran menerusi saluran Astro Ria (saluran 104) Oktober depan.

Selepass membintangi drama rantaian Suri Hati Mr. Pilot (SHMP), nama Alvin Chong semakin mendapat perhatian dan sebutan peminat seni hiburan tanah air.

Kelebihan tersebut membuatkan Alvin terus berusaha mencipta nama dalam kalangan pelakon Melayu, sekali gus mencabar diri membawa watak utama menerusi naskhah Awak Suka Saya Tak?

Drama rantaian yang bakal bersiaran menerusi Astro Ria (saluran 104) tersebut menyaksikan Alvin bergandingan dengan Emma Maembong dan melakonkan watak sebagai lelaki mualaf.

Biarpun pernah terkait kontroversi kerana membawakan karakter sedemikian dalam drama terdahulu, Alvin bagaimanapun enggan membiarkan perkara tersebut menjadi penghalang perkembangan kariernya.

Tegasnya, dia bersedia menerima segala kritikan dan tidak mempedulikan pandangan negatif khalayak, khususnya di media sosial.

KOSMO!: Bagaimanakah perjalanan kerjaya Alvin selepas membintangi drama rantaian Suri Hati Mr. Pilot (SHMP) pada tahun lalu?

ALVIN CHONG: Penglibatan saya dalam industri hiburan Melayu semakin diterima dan mendapat sambutan baik daripada peminat. Perkara itu secara tidak langsung memberikan impak positif terhadap karier seni saya yang bermula sejak empat tahun lalu.

Selepas membawakan watak sebagai lelaki mualaf menerusi drama SHMP, adakah anda masih diberi tawaran membawakan karakter sebegitu?

Tidak dinafikan, saya masih mendapat tawaran menjayakan watak lelaki mualaf. Bagi saya, watak mualaf bukan satu isu yang perlu dibahas kerana ia merupakan kepercayaan produksi dan tugas saya ialah menjayakannya dengan sehabis baik.

Sebagai pelakon, itu cabaran agar ia diterjemahkan realistik. Terbaharu, saya melakonkan watak sebagai lelaki mualaf menerusi drama rantaian Awak Suka Saya Tak? arahan Raja Ahmad Alauddin.

Bolehkah anda jelaskan serba sedikit mengenai naskhah tersebut?

Saya membawakan watak sebagai Hilman Yong yang menuntut di sebuah universiti di Taiwan. Dia kemudiannya jatuh cinta dengan seorang wanita beragama Islam bernama Intan Zulaikha lakonan Emma Maembong. Bermula dari situ, Hilman mula mendekati Islam. Dalam naskhah tersebut, saya ditonjolkan sebagai lelaki mualaf yang tidak meninggalkan solat, mendalami al-Quran dan melaungkan azan. Babak membaca al-Quran dan melaungkan azan bagaimanapun dilakukan secara rakaman suara oleh individu lain.

Drama sebanyak 16 episod itu akan bersiaran menerusi saluran Astro Ria sekitar Oktober depan.

Tidakkah anda terfikir bahawa kekerapan membawakan watak mualaf akan mengundang kritikan, sekali gus mencetuskan polemik agama dalam kalangan peminat?

Kritikan adalah satu perkara yang tidak boleh dielak terutama apabila bergelar artis. Tambahan sewaktu menjayakan naskhah berkenaan, saya banyak bertanya kepada pengarah dan tenaga produksi tentang cara menunaikan solat. Emma turut ditanyakan perkara sama dan dia menasihatkan agar saya tidak terlalu mengambil peduli akan kata-kata orang kerana tiada artis yang tidak pernah menerima kritikan.

Apakah agama yang sedang anda anuti sekarang?

Saya seorang penganut Kristian.

Tidakkah anda terfikir bahawa adegan ibadat yang dilakonkan mampu mencetuskan sensitiviti dalam kalangan penonton beragama Islam?

Itu hanya lakonan dan sudah menjadi tugas saya sebagai pelakon untuk menjayakannya. Saya faham penonton mungkin akan mempertikaikan perkara tersebut tetapi segalanya dilakukan dengan teliti. Saya amat menitikberatkan soal teknik dan melakukannya dengan betul. Saya akan merujuk kepada tenaga produksi dan kenalan beragama Islam sebelum melakonkan sesuatu babak terutama melibatkan adegan solat. Selain itu, penerimaan keluarga juga positif dan mereka berfikiran terbuka apabila mengetahui saya kerap berlakon sebagai mualaf.

Bagaimanakah penerimaan anda terhadap kritikan tersebut?

Perkara paling penting adalah kekal positif. Ada peminat mengkritik lakonan dan melontarkan pelbagai kata negatif kepada saya tetapi itu tidak menjadi masalah. Pengkritik terutama di media sosial adalah individu yang tidak tahu menggunakan masa dengan bijak. Justeru pada setiap waktu lapang mereka digunakan untuk mencari kesalahan orang lain untuk dihentam dengan kata-kata yang menyakitkan hati.

Selain drama berkenaan, apa perkembangan terbaharu anda?

Saya akan muncul menerusi filem berbahasa Mandarin berjudul Reunion Romance dan akan ditayangkan di China dan Hong Kong pada bulan Oktober depan. Saya juga sedang mengumpul material untuk menghasilkan single kedua dalam bahasa Melayu selepas Lagu Mu selain memberi perhatian terhadap pembikinan lagu berbahasa Mandarin dan Inggeris.

Post a Comment

Previous Post Next Post