Penegasan Loque, Maya Karin


Loque dan Maya mempunyai pegangan yang kuat tentang nasionalisme terhadap negara.

Besar sungguh makna setia jika dilihat dan dinilai dari sudut pandang yang berbeza. Tidak hanya eksklusif pada ikatan cinta dan kasih sayang semata-mata, pengertian setia juga dapat digambarkan secara halus menerusi keakraban seseorang itu terhadap sesuatu perkara.

Vokalis kumpulan Monoloque, Loque misalnya dilihat begitu setia dengan haluan muziknya dari rumpun Nusantara. Dari komposisi lagu sehingga gaya penampilan, pemilik nama lengkap, Khairil Ridzwan Annwar itu tidak pernah gagal membawa dirinya yang sarat dengan jati diri bangsa Melayu.

“Ramai yang memandang janggal saat terserempak dengan saya ketika menggayakan tengkolok di kepala.

“Namun, jika bukan kita yang menggayakan busana tradisi ini, siapa lagi?” ujar bekas gitaris utama kumpulan Butterfingers itu membutirkan bicara.

Menurut Loque, bulat hatinya untuk berpenampilan sedemikian bukanlah disebabkan oleh trend terkini atau percubaan mencipta kenyataan fesyen semata-mata.

Bahasa

Sebaliknya, penampilan tersebut lebih mempamerkan apresiasi seninya sebagai seorang individu dan penyanyi.

“Tengkolok merupakan hak kita. Justeru, tidak perlu rasa malu jika kita mahu menggayakannya,” ujar pelantun lagu Badang Kota Raya itu.

Kongsi Loque, selain perihal pemakaian, perasaan malu dalam kalangan orang Melayu juga sering timbul apabila melibatkan penggunaan bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu dalam pertuturan harian.

“Saya perhatikan, orang kita sering memandang bahasa Melayu sebagai bahasa kelas kedua terutama dalam institusi korporat. Mereka meletakkan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama kerana risau orang luar tidak boleh berurusan dengan mudah.

“Tidak dinafikan, bahasa Inggeris merupakan bahasa pertuturan standard masyarakat global. Namun, tidak menjadi satu kesalahan untuk memperkasakan bahasa Melayu dalam sektor pembangunan sama seperti apa yang dipraktikkan oleh negara-negara besar lain seperti China, Perancis dan Jepun,” tegasnya.

Menurut Loque, jurang bahasa dan budaya yang masih wujud di tanah sendiri merupakan tanda yang jelas bahawa pemikiran rakyat Malaysia masih belum merdeka sepenuhnya.

“Secara luaran, ya kita telah merdeka. Kita mempunyai kerajaan dan mampu membuat keputusan sendiri. Namun secara mental, kita masih dibayangi impak jajahan yang dibawa oleh British suatu ketika dahulu,” katanya lagi.

Setia Loque terhadap genre yang digelarnya sebagai muzik Malaysia itu nampaknya tidak sia-sia.

Biarpun tidak sehaluan dengan genre pop yang lain, muzik yang menggabungkan irama moden dan tradisional yang dibawanya dilihat mampu menarik pengikut tersendiri.

Buktinya, kumpulan Monoloque dipilih untuk menyemarakkan acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) menerusi penerbitan lagu tema berjudul Tunjuk Belang.

Lebih membanggakan, Monoloque dan Azlan telah diberi peluang untuk mempersembahkan lagu tersebut pada majlis pembukaan KL2017 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 19 Ogos lalu.

“Sejujurnya, saya berasa seriau sebelum naik ke atas pentas untuk menyampaikan lagu tersebut di hadapan ribuan penonton. Namun, semuanya hilang apabila kami mula menyampaikan lagu tersebut,” katanya dalam nada teruja bersulam bangga.

Menurut Loque, dia berasa sangat terharu apabila Kementerian Belia dan Sukan serta menterinya, Khairy Jamaluddin memberi peluang kepadanya untuk memercikkan muzik Malaysia dengan lebih meluas.

“Saya terharu kerana pihak kementerian telah meletakkan kepercayaan kepada saya.

“Barangkali pada masa akan datang, lebih ramai penyanyi dengan muzik Malaysia diberi peluang untuk mempersembahkan karya mereka pada acara berskala besar.

“Jika bukan saya sekalipun, mungkin penyanyi lain yang sealiran karya dengan saya,” katanya yang baru sahaja meluncurkan album terbaharu berjudul Jangan Puja Sampai Kecewa baru-baru ini.

Filem Malaysia

Terlanjur bicara mengenai elemen Malaysia yang perlu ada dalam karya seni tempatan, Maya Karin pula berpendapat, ruang lingkup penerbitan filem sejak dahulu dilihat tidak berkembang dan hanya tertumpu kepada tiga segmen kaum terbesar di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India.

Katanya, penerbit filem perlu mengambil inisiatif dalam menggabungkan ketiga-tiga bangsa tersebut dalam sebuah naskhah yang boleh digelar sebagai filem Malaysia.

“Pasaran perfileman di Malaysia sangat kecil berbanding negara lain. Hal ini kerana, pasaran negara kita terbahagi kepada tiga bangsa tetapi di Thailand, Filipina dan Indonesia, pembikin filem melahirkan naskhah untuk satu bangsa sahaja.

“Kita juga boleh menjadi seperti mereka, asalkan gaya persembahan naskhah dikaji semula untuk mendapatkan sebuah penerbitan berkualiti yang dapat mewakili setiap bangsa di Malaysia,” katanya.

Mengambil contoh filem Olympic Dream yang baru sahaja selesai penggambaran beberapa minggu lalu, Maya atau nama sebenarnya, Maya Karin Roelcke, 38, yang berpeluang untuk beraksi dalam sebuah penerbitan Malaysia yang berbilang bangsa itu kagum dengan usaha yang dilakukan oleh produksinya, Full Billion Entertain-ment Sdn. Bhd.

Katanya, kesatuan yang ada menerusi jalan cerita dan pelakon digarap dengan cara berbeza, tanpa kelihatan terlalu dibuat-buat.

“Elemen-elemen seperti ini yang perlu ada dalam naskhah filem Malaysia. Ia bukan sahaja nampak semula jadi tetapi sarat dengan mesej yang boleh dijadikan pengajaran oleh penontonnya,” ujar Maya yang menjangkakan filem tersebut diluncurkan sekitar Februari tahun depan.

Duit

Diminta untuk memberikan ulasan mengenai maksud kesetiaan dari sudut pandangnya, Maya yang menyandang status sebagai pelakon sejak 2001 berkata, setiap individu yang ingin berkarier sebagai insan seni, perlulah setia terhadap matlamatnya dan tidak sesekali terpengaruh dengan wang ringgit.

“Jika seseorang itu ingin bergelar pelakon, dia perlu setia terhadap seninya.

“Jangan kerana godaan wang, kita menjadi lupa dengan falsafah tersebut lalu tenggelam tanpa hala tujuan,” tegasnya.

Menurut Maya, dia pernah berhadapan dengan situasi tersebut ketika awal kemunculannya sebagai pelakon.

“Disebabkan wang, saya menjayakan sebuah projek filem yang tidak memberikan impak terhadap karier saya.

“Selepas ia ditayangkan, saya bersumpah untuk tidak menjayakan sebarang filem seperti itu. Memang bayaran kena setimpal tetapi jangan kerana duit, kita terlepas pandang kualiti yang sepatutnya ada pada sesebuah naskhah,” katanya lagi.

Ditanya mengenai kesetiaannya yang tidak pernah berbelah bahagi terhadap bidang filem sehingga tidak pernah menjayakan sebarang drama, ini jawapan Maya.

“Ada beberapa pelakon yang bermula bersama saya sebagai pemain filem memilih untuk berlakon drama. Namun, selepas beberapa lama, mereka dilihat tidak lagi aktif berlakon.

“Saya bukan mahu merendahkan mereka tetapi faktanya, saya berasa bertuah kerana perjalanan karier bermula sebagai pelakon filem dan akan terus kekal sebegini. Saya tidak mahu buat sesuatu perkara kerana wang dan disebabkan itu, saya memilih untuk tidak berlakon drama,” ujarnya panjang lebar.

Ditanya adakah Maya akan membuka hatinya untuk berlakon drama, pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 menerusi filem Pontianak Harum Sundal Malam itu berkata: “Jika produksi drama setaraf dengan produksi filem, mungkin saya akan pertimbangkan.”

Dalam perkembangan lain, Maya berhasrat untuk menyambung karier nyanyiannya yang direhatkan seketika kerana sibuk berlakon.

“Selepas ini, saya akan memberi fokus kepada karier nyanyian pula. Masih dalam proses perbincangan, namun peminat boleh menjangkakan kelahiran single terbaharu saya dalam masa terdekat ini,” kata Maya yang telah menerima beberapa karya daripada Aizat Amdan, Yasin dan Awi Rafael untuk dipertimbangkan sebagai single baharunya.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post