Jiwa merdeka Aznil Nawawi


Aznil Nawawi amat menitikberatkan budaya sopan santun serta berbudi bahasa ketika berada di luar negara sebagai langkah menjaga nama baik negara.

Malaysia meraikan ulang tahun kemerdekaan yang ke-60 pada hari ini, tanggal keramat 31 Ogos yang tidak pernah dilupakan. Mengangkat tema Sehati Sejiwa yang merupakan simbolik kepada semangat perpaduan kaum dan masyarakat berbilang bangsa yang selama ini menjadi tunjang negara penyatuan rakyat Malaysia.

Lebih manis, sambutan kemerdekaan negara pada tahun ini turut diserikan dengan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang berlangsung sejak 19 Ogos lalu.

Bagai memberi penghormatan buat pengacara nombor satu negara, Datuk Aznil Nawawi atau lebih mesra disapa sebagai Pak Nil apabila beliau diberi peluang untuk menghiburkan 90,000 pengunjung pada acara pembukaan KL2017 yang berlangsung meriah di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 19 Ogos lalu.

Mencatat sejarah manis, pengacara berusia 53 tahun itu turut diberi peluang membuat persembahan pada majlis penutupan KL2017 yang berlangsung semalam di lokasi sama.

Bagi beliau, peluang membuat persembahan pada acara berprestij itu bukan suatu penghormatan buatnya tetapi ditujukan khas buat idolanya, Allahyarham Sudirman Haji Arshad.

KOSMO!: Bagaimanakah perasaan Aznil apabila diberi penghormatan membuat persembahan pada acara pembukaan dan penutup temasya KL2017 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 19 Ogos lalu?

AZNIL NAWAWI: Sejujurnya membuat persembahan pada acara pembukaan KL2017 bukan suatu penghormatan buat saya, sebaliknya persembahan tersebut ditujukan khas buat idola saya iaitu Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.

Terus terang, saya mahu peminat merasai semangat keceriaan dan kesungguhan saat mempersembahkan lagu nyanyian beliau yang berjudul Hore Hore.

Sementara itu, untuk upacara penutup bersesuaian dengan sambutan ambang kemerdekaan negara malam ini, saya mempersembahkan lagu Tanggal 31 selain mengucapkan Selamat Hari Kemerdekaan ke-60 kepada seluruh rakyat Malaysia.

Semoga lagu berkenaan dapat menyuntik semangat kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan belia dan kanak-kanak tentang rasa cintakan tanah air. Saya akan lakukan yang terbaik dan tidak mahu memalukan nama baik negara.

Sebagai anak seni dan selebriti popular tanah air, apakah cara yang anda lakukan bagi menunjukkan rasa cinta kepada negara?

Ada yang sanggup berjuang mempertaruhkan nyawa mahupun berhempas pulas berusaha untuk mengharumkan nama negara seperti yang dilakukan oleh para atlet tanah air pada KL2017.

Biarpun bergelar anak seni, saya tetap berusaha untuk mengisi dan menyuntik kecintaaan kepada negara dengan cara seperti membuat persembahan pada acara berprestij seperti ini.

Tidak hanya di tempat sendiri, saya juga tetap menjaga nama baik Malaysia ketika bekerja di luar negara.

Kesibukan jadual kerja menyebabkan anda kerap menghabiskan masa di luar negara. Jadi, bagaimanakah cara anda mempamerkan contoh yang baik kepada orang luar?

Boleh dikatakan saya kerap berkunjung ke Eropah dan Amerika Syarikat. Saya memperkenalkan Malaysia ke mata dunia dengan cara mengetengahkan budaya kesantunan rakyat tempatan.

Sedia maklum, seperti yang di dapat lihat menerusi televisyen mahupun lagu, kebanyakan daripada mereka kerap menggunakan bahasa kasar seperti mencarut dan berunsur lucah.

Jadi, apabila kita membawa jati diri Malaysia yang masih mengamalkan budaya sopan santun, secara tidak langsung telah memberikan gambaran baik kepada mereka.

Meskipun kita berdepan arus kemodenan tetapi kita masih mampu menjaga budi bahasa dan sikap rendah diri kerana ia merupakan cerminan negara.

Dengan cara sebegitu kita dapat mengubah persepsi negatif masyarakat luar terhadap gaya hidup rakyat Malaysia.

Bagaimanakah anda mendefinisikan kemerdekaan itu sendiri?

Saya sentiasa mengingatkan diri tentang keharmonian negara dan usaha pejuang terdahulu dalam menuntut kemerdekaan sehingga kita kini mampu menjalani kehidupan yang selesa.

Kemerdekaan itu tidak hanya pada fikiran tetapi ia mampu dijelaskan atau dipamerkan menerusi cara kita menjaga nama baik negara.

Selain perjuangan di medan tempur, pada saya kemerdekaan itu adalah usaha seluruh rakyat Malaysia dalam mempertahankan keamanan negara tidak hanya dari segi keselamatan tetapi merangkumi budaya dan adat kesopanan.

Sebagai rakyat Malaysia, bagaimanakah cara anda menyemai jati diri dan rasa cintakan negara?

Segalanya bermula dengan diri sendiri. Saya tidak akan pernah lupakan sokongan dan bantuan rakyat Malaysia sehingga berjaya meraih kejayaan seperti sekarang. Saya akan terus menjaga nama baik negara dan kesantunan apabila berada di negara orang.

Biarpun ada pelbagai cerita kurang enak tetapi segalanya tidak membawa makna untuk saya. Tambahan, saya juga tidak malu untuk mengaku sebagai rakyat Malaysia ketika memperkenalkan diri kepada orang luar.

Pada masa sama, saya juga dilantik sebagai ikon kempen Cintakan Negara anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pada pendapat saya, perlaksanaan kempen tersebut tidak perlu menunggu tibanya bulan Ogos kerana rasa cintakan negara perlu ada sepanjang masa.

Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pemimpin negara, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana terus membawa kemajuan kepada negara.

Aakah aktiviti seni yang anda lakukan sekarang?

Saya mengacarakan program Ring! Ring! Ringgit di saluran Astro Prima (105) dan Akademi Fantasia (AF) Megastar menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Saya juga mempunyai perancangan untuk melebarkan sayap ke persada seni Hollywood dan mencuba nasib sebagai pengacara di sana.

Namun, segalanya bergantung pada rezeki dan takdir Tuhan.

AZNIL menyampaikan lagu Hore Hore nyanyian asal Allahyarham Sudirman Haji Arshad pada acara pembukaan Sukan SEA 2017 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, 19 Ogos lalu.

AZNIL amat menitikberatkan budaya sopan santun serta berbudi bahasa ketika berada di luar negara sebagai langkah menjaga nama baik negara.

[Other Promo]


Post a Comment

Previous Post Next Post