Firdaus dan Nyda 'bersanding' bersama sekumpulan 'teddy bear' pada majlis perkahwinan mereka di Klang. Foto Facebook Perjuangan Lensa Ayen.
Berbulu dan bersaiz lebih besar berbanding pasangan pengantin membuatkan beberapa ‘pengapit’ menjadi tumpuan di atas pelamin sebuah majlis perkahwinan baru-baru ini.
Sekumpulan ‘pengapit’ ini juga berwarna-warni, terdiri daripada merah jambu, perang dan ungu, antaranya memakai reben dan berselendang.
‘Mereka’ ini sebenarnya patung beruang atau ‘teddy bear’ yang disusun kemas di atas pelamin bergambar bersama pasangan pengantin, Muhammad Firdaus Zainuddin, 21, dan Nirda Rauda Mohd Yusof, 20, yang kini tular di media sosial.
Firdaus berkata, patung beruang bersaiz besar itu merupakan kejutan yang dibuat untuk isteri yang lebih dikenali Nyda pada majlis persandingan mereka di Klang pada akhir bulan lepas.
Nyda dan Firdaus mula berkenalan sejak di bangku sekolah.
Bagaimanapun gambar-gambar bersama ‘teddy bear’ itu baharu diterima daripada jurugambar yang merakamkan hari bahagia mereka pada hujung minggu lalu.
“Saya dan isteri mula berkenalan sejak kami di bangku sekolah, masing-masing di Tingkatan Empat dan Tingkatan Tiga. Kebetulan, sekolah kami berdekatan.
“Sejak perkenalan kami selama lima tahun, isteri memang suka ‘teddy bear’. Ada juga patung beruang yang saya beli, tapi tak banyak sebab saya masih bersekolah jadi perlu menyimpan wang kalau nak belikan dia hadiah,” katanya kepada mStar Online.
Firdaus yang kini bekerja sebagai pegawai tadbir berkata, kejutan dirancang bersama keluarga isteri semasa kedua-dua mereka sedang sibuk melayan tamu di dalam dewan.
Bukan satu, bukan dua, tapi lapan patung beruang bersaiz besar disusun di atas pelamin, bagaimanapun kata Firdaus, ada beberapa patung terpaksa diturunkan semasa sesi fotografi memandangkan ruang pelamin agak terhad.
“Alhamdulillah, dapat saya hadiahkan ‘teddy bear’ buat isteri. Dulu mungkin tak boleh beli banyak tapi sekarang dapatlah beli beberapa buah untuk dia,” katanya.
Sementara itu, Nyda memberitahu, kejutan itu sememangnya tidak dijangka sehingga dia menitiskan air mata apabila melihat sekumpulan ‘teddy bear’ di atas pelamin.
Nyda penggemar patung 'teddy bear' sejak kecil lagi.
Mengakui pengumpul ‘teddy bear’ sejak berusia enam tahun, anak bongsu daripada 10 adik-beradik ini berkata, kebanyakan patung beruang yang disukainya bersaiz besar.
“Saya memang suka ‘teddy bear’ yang besar sebab bukan sahaja comel tapi boleh dipeluk. Masa bercinta dulu, suami memang ada hadiahkan ‘teddy bear’ tapi hanya bersaiz sederhana.
“Walaupun saya peminat ‘teddy bear’ bersaiz besar, setiap pemberiannya saya terima seikhlas hati. Saya tak pernah meminta, tapi dia tahu apa yang saya suka. Memang saya teringin nak ada 'teddy bear' banyak. Jadi, bila ada ‘teddy bear’ masa majlis kahwin kami, memang saya tergamam,” ujar Nyda.
Menurut Nyda, dia kini mempunyai lebih 16 patung beruang bersaiz besar yang kini disimpan di dalam bilik tidur dan di sebuah bilik lagi di rumah mereka di Klang.
“Suami merajuk bila saya peluk ‘teddy bear’ ni di bilik tidur. Tapi dia merajuk ‘manja-manja’ saja, setakat peluk ‘teddy bear’ tu dia faham.
“Walaupun dah kahwin, saya masih meneruskan hobi mengumpul ‘teddy bear’. Harapnya suami faham-fahamlah ya untuk terus buat kejutan ‘teddy bear’ kat saya selepas ni,” katanya secara berseloroh.