Belum dua minggu ditayangkan di pawagam, filem cinta adaptasi novelis popular, Nia Azalea berjudul Kau Yang Satu telah menjadi mangsa rakaman oleh penonton yang tidak bertanggungjawab.
Lebih menyedihkan, rakaman tersebut dibuat menggunakan teknologi secara live streaming (rakaman secara langsung)ketika pelaku tersebut menonton naskhah yang menampilkan lakonan Aaron Aziz, Izara Aishah, Hisyam Hamid dan Soo Wincci di pawagam.
Mendapat sehingga 100,000 perkongsian dan hampir 200,000 tontonan di laman Facebook, pengarah Kau Yang Satu, Osman Ali meluahkan rasa kecewa dan terkilan terhadap perbuatan yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab itu.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Osman Ali yang berharap tindakan sewajarnya dapat diambil ke atas pelaku berkenaan.
KOSMO!: Boleh kongsikan, bagaimana Osman mengetahui tentang rakaman live streaming filem Kau Yang Satu ini tersebar di laman Facebook?
OSMAN: Saya berada di luar kawasan ketika rakaman filem ini tersebar. Ketika itu, salah seorang rakan di Facebook telah berkongsi pautan rakaman berkenaan.
Dia juga berpesan agar saya dapat mengambil tindakan terhadap orang yang tidak bertanggungjawab membuat rakaman live streaming semasa menonton filem itu di pawagam.
Apa tindakan anda sebaik sahaja mengetahui perkara itu?
Memang saya sangat terkilan kerana mentaliti masyarakat Malaysia yang masih kurang peka terhadap hak orang lain. Saya terus membuat salinan skrin gambar tersebut dan menghantarnya kepada pihak penerbit iaitu Astro Shaw, Global Station dan Nuansa.
Pihak Astro terus berhubung dengan Facebook dan meminta mereka memadamkan pautan video tersebut. Mereka turut menghubungi pemilik asal rakaman berkenaan untuk mendapatkan penjelasan daripadanya.
Bagaimana pula dengan reaksi pemilik asal rakaman tersebut?
Memang dia terkejut dan meminta maaf atas kesilapan yang telah dilakukan. Menurutnya, dia tidak sedar merakam filem tersebut merupakan satu kesalahan.
Kenyataan daripada pelaku itu benar-benar membuatkan saya rasa terkilan kerana masih ada lagi masyarakat yang kurang peka terhadap isu cetak rompak seperti ini. Dia juga sudah menghantar surat permohonan maaf secara terbuka kepada kami.
Sebagai pengarah, apakah tindakan sewajarnya yang anda mahukan kepada perakam berkenaan?
Dalam naskhah ini, tugas saya hanyalah mengarah sahaja. Tindakan yang sepatutnya perlu dilakukan oleh pihak penerbit.
Sebagai pengarah, saya sangat menggalakkan agar mereka dapat mengambil tindakan tegas seperti membuat laporan polis kerana tidak mahu kejadian sama berulang kepada karya pengarah lain.
Saya sedih melihat komen yang ditinggalkan netizen apabila rakaman filem Kau Yang Satu tersebar. Rata-rata meminta perakam untuk merakamkan filem yang lain seperti naskhah Abang Long Fadil yang bakal ditayangkan.
Selain pihak penerbit, saya juga bersyukur kerana masalah ini dipandang serius oleh Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).
Baiklah, bercakap mengenai naskhah Kau Yang Satu, boleh kongsikan bagaimana maklum balas penonton selepas lebih seminggu ia ditayangkan?
Alhamdulillah, rata-rata komen yang diberikan begitu positif. Saya rasa sangat seronok apabila hampir 80 peratus penonton berpuas hati dengan filem ini, sekali gus ia membuatkan sasaran untuk menarik minat penonton yang gemar menonton kisah cinta tercapai.
Selepas kejadian ini berlaku, adakah anda akan berasa serik untuk menghasilkan karya lain?
Sejujurnya memang saya berasa sedikit hilang rasa motivasi diri dan kecewa, tambahan pula dengan keadaan industri filem Melayu sekarang yang semakin tenat.
Begitupun, pengarahan merupakan bidang kerja saya yang tetap perlu diteruskan. Jika tiada halangan, filem arahan saya yang berjudul Pinjamkan Hatiku bakal ditayangkan pada 30 November depan.
Filem tersebut bakal menjadi naskhah terakhir arahan saya yang mengisahkan tentang cinta. Selepas ini, saya akan mula mengarahkan filem dengan genre yang lain seperti filem aksi atau seram.